SITI Nor Saleha memangku Syareefa Aafiyah yang menghidap 'sindrom Crouzon' bersama suami, Mohd Sufian ketika ditemui di Taman Seremban 3, Rasah. FOTO Mohd Khidir Zakaria
SITI Nor Saleha memangku Syareefa Aafiyah yang menghidap 'sindrom Crouzon' bersama suami, Mohd Sufian ketika ditemui di Taman Seremban 3, Rasah. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

Rasah: Hati ibu bapa mana yang tidak gundah apabila bayi perempuan yang dilahirkan sejak 12 November lalu hanya mampu menangis tanpa suara.

Menurut ibu bayi terbabit, Siti Nor Saleha Binti Shamsul Bahrin, 35, dia mulanya teruja apabila melahirkan bayi seberat 3.1 kilogram itu.

"Kelahiran bayi diberi nama Syareefa Aafiyah Mohd Sufian itu menimbulkan rasa pelik apabila anaknya itu tidak menangis seperti bayi normal lain menyebabkan doktor melakukan pemeriksaan lanjut.

"Hasil pemeriksaan itu, Syareefa Aafiyah terus dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

"Bagaimanapun anak saya itu disahkan mengalami 'sindrom Crouzon' iaitu kecacatan bentuk tulang tengkorak, masalah saluran pernafasan sempit dan sindrom bentuk muka," katanya ketika ditemui di rumah adik iparnya di Taman Seremban 3 di sini.

Katanya, selama lebih dua bulan dia bersama bayinya ini dirawat di PPUM selain turut menjalani pembedahan menebuk leher ketika usianya menginjak tiga minggu.

"Paling menyedihkan apabila bayi sekecil itu terpaksa melalui pembedahan berkenaan.

"Menurut doktor, saluran pernafasan Aafiyah sebesar jarum dan penyakit itu jarang berlaku di negara Asia sebaliknya berlaku di negara Eropah," katanya.

Menurutnya, dia dan suami berkongsi gambar dan maklumat anaknya itu di laman sosial Facebook bertujuan memohon dia orang ramai.

Saleha berkata, kebanyakan rakan-rakannya tidak mengetahui masalah kesihatan dihadapi anaknya itu termasuk rakan setugas suaminya, Mohd Sufian Sulaiman, 35, yang berkhidmat di Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS).

"Pada mulanya kami merasakan keadaan dialami Aafiyah paling serius namun terdapat banyak lagi kes bayi di PPUM yang lebih teruk.

"Pujian harus diberikan kepada doktor di PPUM) kerana cekap mengendalikan kes-kes berat dan dalam masa sama bijak mententeramkan perasaan ibu bapa seperti kami," katanya.

Menurutnya, dia menumpang sementara di rumah adik di Taman Seremban 3 di sini, sebaik dibenarkan keluar dari hospital kerana keadaan kesihatan Aafiyah.

"Terima kasih juga kepada banyak pihak yang membantu bagi membayar kos perubatan seperti Baitulmal yang menyumbang RM10,000, Pusat Zakat negeri (RM1,000) dan Menteri Besar Negeri Sembilan turut menyumbang RM500.

"Untuk perbelanjaan kos yang lain, kami perlu membeli alat 'tracheostomy tube' berharga RM290 seunit yang perlu ditukar sekurang-kurangnya tiga kali seminggu," katanya.

Kini, bayi Aafiyah dalam proses memohon bantuan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan juga proses temujanji lanjutan di Hospital Tuanku Jaafar.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9), Norfadilah Mansor berkata, pihaknya turut menyantuni keluarga ini dan melawat bayi syurga ini disamping memberi sumbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 3:29 PM