KEADAAN  Adam yang bernafas dan minum susu melalui saluran  dibuat doktor.
KEADAAN Adam yang bernafas dan minum susu melalui saluran dibuat doktor.
Khairiyah dengan penuh sebak menidurkan anaknya.
Khairiyah dengan penuh sebak menidurkan anaknya.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: “Sebak hati melihat anak tidak mampu melihat dan bernafas seperti bayi lain, namun saya berusaha menjaga dan mencari dana agar pembedahan dapat segera dilakukan.”

Itu rintihan Khairiyah Shamsuddin, 38, ibu kepada Mohammad Adam Hamka Norisam berusia 10 bulan yang menderita penyakit Sindrom Pfeiffer sejak dilahirkan November tahun lalu.

Difahamkan, sindrom itu mengakibatkan tengkorak kepala penghidapnya mengecut hingga menyebabkan otak pesakit gagal berkembang selain mengganggu sistem saraf di kepala berfungsi dengan baik.

Menurut Khairiyah, sejak dilahirkan, anak lelakinya itu gagal bernafas dengan baik hingga menyebabkan doktor pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) melakukan pembedahan menebuk dagunya selain membesarkan rongga hidung.

Mata Mohammad Adam Hamka ditutup bagi mengelakkan biji matanya terkeluar atau tersembul.

“Sejak dilahirkan sudah tiga kali Adam menjalani pembedahan dan ini semua dilakukan bagi membolehkannya bernafas dan menerima susu seperti bayi lain.

“Saya dan suami berulang-alik dari Temerloh, Pahang ke PPUM memandangkan hanya di hospital itu mempunyai kepakaran merawat anak kami,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Katanya, sejak menjalani tiga pembedahan, Adam terpaksa bergantung kepada lima ubat berlainan bagi memastikan dia tidak dijangkiti sebarang penyakit lain.

Dalam masa sama, Khairiyah dan suaminya Norisam Mhd Jaafar, 34, menanggung kos pembedahan yang tinggi sedangkan mereka tiada pendapatan tetap kerana dia seorang suri rumah manakala suaminya bekerja sendiri.

Menurutnya, doktor yang merawat Adam memberitahu anak bongsunya itu perlu menjalani pembedahan keempat untuk menstrukturkan kembali rangka kepalanya.

Khairiyah berkata, pembedahan itu perlu dilakukan demi menyelamatkan nyawa anaknya selain memastikannya dapat hidup seperti insan lain yang sebaya dengannya.

“Saya ada dua lagi anak, masing-masing berusia lima dan sembilan tahun. Saya dan suami tinggalkan mereka di kampung dan dijaga datuk mereka kerana menjaga Adam di PPUM,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan kajian kumpulan doktor yang merawat anaknya, sindrom seperti itu adalah yang pertama berlaku kepada bayi di Malaysia dan pembedahan membentuk struktur tengkorak kepala perlu dilakukan bagi membolehkan otak anaknya itu berkembang.

Pembedahan dengan kos RM100,000 dilakukan esok.

Beliau berkata, orang ramai yang bersimpati dan ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun CIMB Norisam Mhd Jaafar bernombor 011 2326 6907.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 9:46 AM