Pelaksanaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula hari ini memberi cabaran kepada golongan pendidik.
Pelaksanaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula hari ini memberi cabaran kepada golongan pendidik.
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Pelaksanaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula hari ini memberi cabaran kepada golongan pendidik, namun tidak mematahkan semangat mereka untuk menyampaikan ilmu kepada anak didik.

Buktinya, guru subjek Bahasa Isyarat Komunikasi (BIK) Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Persekutuan, Pulau Pinang , Mohamad Khazaen Mat Nasir, 29, tetap komited mengadakan kelas secara dalam talian walaupun hanya membabitkan seorang murid Tahun Satu yang mengalami masalah pendengaran.

Mohamad Khazaen yang mempunyai lima tahun pengalaman sebagai guru berkata, kaedah panggilan video menerusi aplikasi WhatsApp digunakannya sebagai alternatif bagi menggantikan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka.

"Hari ini, kelas saya bermula jam 11 pagi dan sepatutnya mengambil masa selama 30 minit.

"Saya mulakan kelas dengan mengajar asas bahasa isyarat dan selitkan elemen permainan, namun murid terbabit hanya dapat memberi tumpuan untuk lima minit saja kerana menjadi hiperaktif selepas itu.

"Jadi, saya teruskan sesi PdP bersama ibunya dengan memberi pendedahan kepadanya mengenai topik yang diajar," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohamad Khazaen mengakui agak sulit untuk menjalankan sesi PdPR membabitkan anak istimewa kerana dia lebih selesa mengajar serta melatih mereka secara bersemuka.

"Kalau bersemuka lebih mudah, tetapi sebaliknya bagi PdPR kerana guru perlu bekerjasama dengan ibu bapa.

"Jadi, kedua-dua pihak harus memainkan peranan dan kaedah PdP digunakan adalah mengikut kesesuaian yakni sekiranya ramai, saya akan menggunakan aplikasi Zoom dan Google Meet.

"Namun, pengajaran masih berpandukan silibus dalam buku teks selain memperbanyakkan aktiviti menggunakan gajet bagi menarik minat murid," katanya yang berasal dari Gua Musang, Kelantan.

Sementara itu, Zulkifli Md Pungut, 52, yang juga guru Matematik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Abdul Rahman Andak, Simpang Renggam, Johor berkata, proses PdPR hari ini berjalan lancar kerana dia sudah menghantar bahan PdP kepada pelajar sejak semalam melalui aplikasi Telegram.

Zulkifli yang juga guru Penolong Kanan Petang berkata, pendekatan itu digunakannya bagi memberi peluang kepada pelajar melakukan rujukan lebih awal supaya lebih bersiap sedia sebelum kelas bermula.

"Tahun ini, saya ditugaskan mengajar pelajar tingkatan dua, empat dan calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

"Setiap seorang pelajar tingkatan dua dan empat akan dibekalkan dengan nombor pengenalan diri (ID) bagi membolehkan mereka mengikuti kelas secara dalam talian di samping berhubung menerusi WhatsApp dan Telegram.

"Manakala, calon SPM 2020 dikehendaki hadir ke kelas secara bersemuka dengan saya mengikut SOP ditetapkan sebagai persediaan sebelum menduduki kertas Matematik yang dijadualkan pada 1 Mac depan," katanya

Meskipun ada kekangan, Zulkifli yakin dapat melaksanakan tugas dengan baik hasil kerjasama semua pihak termasuk pelajar dan ibu bapa.

"Dalam keadaan sekarang, guru bukan saja bertanggungjawab memberi tunjuk ajar tetapi sokongan moral supaya pelajar sentiasa bersemangat dan tidak hilang keinginan untuk belajar.

"Jadi, kita lakukan persediaan, gunakan kepakaran dan cuba cari pendekatan bagi memastikan segala ilmu diajar sampai kepada pelajar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 6:16 PM