KEUNIKAN corak pada badan pesawat antara yang dinantikan pembidik pesawat.
KEUNIKAN corak pada badan pesawat antara yang dinantikan pembidik pesawat.
ANTARA model pesawat yang dicat seakan pelitup muka bagi menyokong pemakaian pelitup muka ketika dunia dilanda Covid-19.
ANTARA model pesawat yang dicat seakan pelitup muka bagi menyokong pemakaian pelitup muka ketika dunia dilanda Covid-19.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Deruman enjin dan rekaan corak badan pesawat yang pelbagai menjadi antara buruan pembidik gambar 'burung besi' sejak beberapa tahun lalu.

Mereka yang meminati pelbagai model kapal terbang ini sanggup menanti berjam lamanya demi sekeping gambar pesawat yang diimpikan.

Komuniti ini menjadikan Anjung Spotter berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang sebagai tempat wajib untuk mendapatkan gambar pesawat dari seluruh pelusuk dunia.

Selain KLIA, banyak lagi lapangan terbang seluruh negara seperti di Pulau Pinang menjadi tumpuan peminat pesawat ini merakam gambar.

Komuniti ini sering menggunakan aplikasi Flight Radar 24 sebagai rujukan bagi mendapatkan maklumat waktu pendaratan dan jenis pesawat.

Walaupun pandemik Covid-19 merencatkan industri penerbangan seluruh dunia, namun kehadiran pesawat masih ada dan komuniti 'pembidik burung besi' ini tetap setia menanti di sekitar lapangan terbang demi hobi yang diminati.

Ikuti kisah tiga 'plane spotter' yang berkongsi hobi mereka kepada wartawan Harian Metro, baru-baru ini.

Kisah 1

Muhammad Abdul Hafiz Asmi,35, mula berkecimpung dengan hobi merakam gambar pesawat sejak empat tahun lalu.

Minatnya terhadap pesawat semakin mendalam selepas bergelar anggota bomba Malaysia Airport Holdings Berhad di KLIA.

Menurutnya, peluang melihat pelbagai pesawat di depan mata ternyata satu impian yang tertunai sejak sekian lama.

MUHAMMAD Abdul Hafiz Asmi.
MUHAMMAD Abdul Hafiz Asmi.

"Sejak kecil saya memang meminati pesawat dan gemar merakam gambar sekiranya melihat pesawat yang unik selain mempunyai rekaan menarik.

"Selepas bekerja sebagai anggota bomba di KLIA saya tidak melepaskan peluang untuk melihat lebih dekat dan dalam masa sama merakam gambar dari seluruh pelusuk dunia yang mendarat di lapangan terbang ini," katanya.

Dia berkata, pesawat kargo McDonnell Douglas MD-11 milik sebuah syarikat penghantaran terkenal antara model yang kali terakhir mendarat di KLIA pada 11 tahun lalu namun dia berkesempatan merakam gambar kapal terbang itu baru-baru ini.

PESAWAT McDonnell Douglas MD-11 antara model yang jarang mendarat di KLIA yang menjadi koleksi Muhammad Abdul Hafiz Asmi/
PESAWAT McDonnell Douglas MD-11 antara model yang jarang mendarat di KLIA yang menjadi koleksi Muhammad Abdul Hafiz Asmi/

"Sebagai 'plane spotter', merakam gambar pesawat yang 'rare' memang dinantikan kerana itu koleksi yang pasti akan dikenang sebagai sejarah.

"Walaupun pesawat sudah berkurangan kerana Covid-19 namun banyak pesawat kargo dari seluruh dunia yang mendarat di KLIA dan hobi saya masih diteruskan sehingga kini," katanya yang sudah merakam ribuan gambar dari lebih 20 model kapal terbang seluruh dunia.

Kisah 2

Menetap berhampiran KLIA menjadikan chef sebuah hotel ini tidak melepaskan peluang merealisasikan impian untuk merakam gambar pesawat dengan lebih dekat.

Wan Amiruddin Wan Khairuzaman.
Wan Amiruddin Wan Khairuzaman.

Wan Amiruddin Wan Khairuzaman, 34, teruja apabila berpeluang merakam gambar Antonov An-225 pesawat terbesar di dunia yang mendarat di KLIA pada April 2018.

"Saya sudah bersedia sejak awal pagi untuk menanti pesawat itu mendarat di KLIA dan perasaan teruja apabila dapat lihat sendiri pesawat terbesar di dunia itu.

"Ketika itu orang ramai dan 'plane spotter' memang menantikan pesawat yang jarang mendarat di KLIA dan gambar dirakam akan disimpan sebagai koleksi," katanya yang mula menceburi hobi ini sejak lima tahun lalu.

Selain itu, Wan Amiruddin berkata, komuniti 'plane spotter' ini akan menantikan pesawat pemimpin utama seluruh dunia yang mengadakan lawatan kerja mahu pun persidangan di Malaysia.

Pesawat terbesar di dunia Antonov An-225 yang mendarat di KLIA pada April 2018 antara koleksi kegemaran Wan Amiruddin Wan Khairuzaman.
Pesawat terbesar di dunia Antonov An-225 yang mendarat di KLIA pada April 2018 antara koleksi kegemaran Wan Amiruddin Wan Khairuzaman.

Katanya, acara antarabangsa seperti Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit) dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) menyaksikan pesawat pemimpin dunia tiba di KLIA dan itu peluang untuk merakam pesawat berkenaan.

"Saya juga ada merakam pesawat pelbagai pemimpin dunia seperti Qatar dan Turki yang tiba di Malaysia.

"Tiada istilah jemu merakam gambar pesawat kerana setiap pesawat mempunyai keunikan tersendiri terutama rekaan corak badan pesawat," katanya yang menggunakan kamera lensa tunggal (DSLR) dengan lensa jarak 300 milimeter.

Katanya, dia dan beberapa lagi 'plane spotter' sering dijemput ke acara atau pameran pesawat seperti Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi dan Hari Terbuka Tentera Udara Diraja Malaysia.

Kisah 3

Enam tahun lalu, Gabriel Guyut, 42, merakam gambar pesawat hanya bermula dengan menggunakan telefon bimbit.

Namun, dari hari ke hari dia mula memantapkan peralatan merakam gambar pesawat dan kini sudah memiliki kelengkapan kamera lengkap untuk hobinya.

Setiap minggu, Gabriel pasti akan menghabiskan sekurang-kurangnya dua jam untuk merakam pesawat di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di Sarawak.

"Minat mendalam sebagai 'plane spotter' menyebabkan saya mengumpul wang untuk membeli kamera yang lebih baik bagi menghasilkan gambar pesawat terbaik.

ANTARA koleksi pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dirakam Gabriel Guyut,
ANTARA koleksi pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dirakam Gabriel Guyut,

"Setiap minggu pasti saya tidak melepaskan peluang merakam gambar pesawat yang mendarat atau berlepas dari LTAK di beberapa 'spot' berhampiran lapangan terbang," katanya yang mempunyai lebih 15,000 keping gambar pesawat dari pelbagai model.

Katanya, dia juga berkesempatan dijemput syarikat penerbangan jika ada pesawat baharu yang membuat penerbangan sulung di LTAK.

Dia berkata, sepanjang bergelar 'plane spotter' dia berpeluang merakam pesawat buatan Russia, Illyushin yang mendarat di LTAK beberapa tahun lalu.

"Saya seronok melihat komuniti ini semakin berkembang dan seni fotografi dapat dipelbagaikan bagi menghasilkan gambar yang berkualiti.

"Saya turut berkongsi gambar pesawat di Instagram untuk tatapan peminat pengangkutan udara ini dari seluruh dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 4:48 PM