Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) terkandas hampir lima jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), di sini, selepas pesawat mereka dilencongkan kerana cuaca buruk.

Penerbangan dari Jeddah ke Kuala Lumpur yang dinaiki 191 penumpang itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor pada 11 pagi.

Bagaimanapun, ia terpaksa dilencongkan atas faktor cuaca dan mendarat di LTAPP.

Seorang penumpang, Tariq Farouk Abdul Basir mendakwa, dia kesal dengan prosedur syarikat terbabit yang tidak memberikan maklumat jelas berhubung kelewatan itu selepas pesawat mereka dilencongkan.

Malah, beliau turut mendakwa penumpang dibiarkan berada di dalam pesawat hampir lima jam tanpa diberi makanan selain air ketika diminta.

SEBAHAGIAN penumpang pesawat MAS dari Jeddah ke Kuala Lumpur yang terkandas di LTAPP. FOTO Zuhainy Zulkiffli.
SEBAHAGIAN penumpang pesawat MAS dari Jeddah ke Kuala Lumpur yang terkandas di LTAPP. FOTO Zuhainy Zulkiffli.

"Sepanjang tempoh itu, pihak berkenaan tidak memberi maklumat tepat mengenai punca pesawat itu terkandas selain maklumat yang diberikan tidak jelas.

"Selepas hampir lima jam barulah kru kapal memberitahu berlaku isu teknikal dan kami akan ditempatkan di hotel, sementara menunggu penerbangan semula ke KLIA pada jam 2 atau 3 pagi," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Tariq Farouk, dia juga tidak dapat menghubungi keluarga yang sudah menunggu di KLIA kerana telefon bimbitnya kehabisan bateri manakala pengecas pula berada dalam kargo bagasi.

Sementara, penumpang yang mahu dikenali sebagai Muhammad pula berkata, dia terpaksa menunda mesyuarat berkaitan perniagaan di Manila, Filipina kerana masih terkandas di Malaysia selain terpaksa menanggung kerugian pembelian tiket penerbangan berharga RM3,000.

"Diharap pihak MAS dapat mengambil kejadian ini sebagai pengajaran supaya nasib yang menimpa kami hari ini tidak berulang kepada penumpang lain di masa depan," katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan LTAPP, Mohd Nadzim Hashim ketika dihubungi mengesahkan terdapat pesawat yang sepatutnya mendarat di KLIA dilencongkan ke LTAPP atas faktor cuaca.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 9:42 PM