GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 504 individu kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 494 dikompaun manakala 10 lagi direman.

Ia membabitkan 145 tidak memakai pelitup muka, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (92), tiada penjarakan fizikal (77), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (60), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (37) dan 93 bagi lain-lain.

"Berkaitan Ops Benteng, 41 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditangkap, dua bot serta tiga kenderaan darat pula dirampas," katanya pada kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, 975 individu tiba di pintu masuk antarabangsa semalam, dan semuanya sudah dikuarantin di stesen berkaitan di seluruh negara.

"Sejak 24 April 2020, 109,174 individu pulang ke tanah air dan kesemuanya ditempatkan di 79 hotel, 16 Institut Latihan Awam (ILA) serta institut pengajian swasta terpilih.

"Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) turut membuat 38 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara," katanya.

Seramai 7,993 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 semalam, dan daripada jumlah itu, 203 disahkan positif.

"Secara kumulatif, 198,422 pekerja warga asing membabitkan 7,790 majikan, menjalani ujian saringan Covid-19.

"Daripada jumlah itu, 3,942 disahkan positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 6:08 PM