Sambutan Thaipusam tahun lalu. FOTO Arkib NSTP
Sambutan Thaipusam tahun lalu. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, beliau sama sekali tidak berniat menafikan hak penganut agama Hindu menyambut Thaipusam berikutan keputusan kerajaan negeri membatalkan cuti sambutan perayaan itu di Kedah.

Jelasnya, keputusan kerajaan negeri tidak mengambil cuti peristiwa berkenaan sama sekali bukan mahu mengenepikan hak mana-mana rakyat di negeri ini.

"Ketika tiada cuti peristiwa untuk perayaan Thaipusam di Kedah sejak sebelum Merdeka lagi, ia tetap disambut bebas dan meriah, hanya dua tahun terakhir ini ia dijadikan cuti peristiwa, bukan cuti umum rasmi negeri.

"Jadi penganutnya boleh menyambutnya di mana-mana saja dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Cuma sekarang semua orang sedang 'dicutikan' akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Presiden MIC M Saravanan, bahawa keputusan Muhammad Sanusi itu menyerlahkan sikap angkuh dan jahil beliau terhadap penganut Hindu.

Beliau menjelaskan, MIC tidak sepatutnya menjadikan semua isu sebagai modal politik kerana kerajaan dan rakyat mempunyai isu lebih besar iaitu berdepan pandemik Covid-19.

"Kita ada PKP dan Ordinan Darurat yang sedang berkuatkuasa, jadi jangan politikkan semua perkara. Ini soal keselamatan dan nyawa seluruh rakyat Malaysia.

"Jika beberapa orang dalam MIC mahu cuti umum sempena Thaipusam, mereka boleh melobi Kerajaan Persekutuan mengumumkan cuti umum untuk seluruh negara. Kedah sudah ada keputusan dalam hal ini," katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, terdapat 6.8 peratus masyarakat India di Kedah dan ada yang menganut agama Hindu, Islam dan Kristian.

"Saya sudah berjumpa dengan tiga kumpulan masyarakat India mewakili penganut Hindu minggu lalu untuk menjelaskan mengenai keputusan ini.

"Jadi MIC ini pejuang apa, India atau Hindu? Cuti peristiwa yang terhad kuotanya patut dipertimbang untuk acara lebih besar atau untuk seluruh rakyat Kedah bukan untuk kaum dan agama tertentu sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 3:00 PM