Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor menerima sokongan sebulat suara untuk dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu, esok.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Sabah, pada sidang media selepas perjumpaan tertutup Gabungan Rakyat Sabah (GRS), hari ini.

Beliau berkata, pencalonannya sebagai Ketua Menteri disokong semua wakil rakyat PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang bekerjasama di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Kami setuju sebulat suara mereka menamakan saya sebagai Ketua Menteri," katanya ketika ditanya siapa dinamakan sebagai Ketua Menteri.

KETUA Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor. FOTO MALAI ROSMAH TUAH.
KETUA Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor. FOTO MALAI ROSMAH TUAH.

Sidang media itu turut dihadiri Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Bung Moktar Radin; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, berkata, beliau bersama semua ADUN daripada GRS akan ke Istana Negeri untuk upacara angkat sumpah Ketua Menteri, esok.

Ditanya berhubung jawatan Timbalan Ketua Menteri, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan selepas beliau mengangkat sumpah Ketua Menteri, esok.

Terdahulu, beliau berkata BN, PN dan PBS bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.

Gabungan Rakyat Sabah selepas membuat keputusan sebulat suara menamakan Datuk Hajiji Mohd Noor sebagai Ketua Menteri Sabah. FOTO Azrul Affandi Sobry
Gabungan Rakyat Sabah selepas membuat keputusan sebulat suara menamakan Datuk Hajiji Mohd Noor sebagai Ketua Menteri Sabah. FOTO Azrul Affandi Sobry

"Saya mahu memaklumkan bahawa GRS yang terdiri daripada BN, PN dan PBS telah bersetuju bersama untuk kita membentuk kerajaan baharu.

"Ini adalah mandat rakyat yang diberi kepada kami yang akan kita tunaikan sebagai tanggungjawab kepada rakyat agar Sabah terus bergerak ke hadapan.

"Kita akan meneruskan usaha untuk membela rakyat dan melakukan yang terbaik seperti digariskan dalam akujanji atau manifesto kita," katanya.

Katanya, beliau turut berterima kasih kepada rakyat Sabah yang mengundi selain mengingatkan wakil rakyat yang terpilih supaya melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

Sementara itu, Bung Moktar berkata beliau yakin Sabah mampu dipulihkan di bawah kepemimpinan GRS.

"Kami yakin Sabah akan pulih. Kita akan mulakan langkah kita untuk memastikan rakyat dibela, tidak lagi main politik. Kita mahu tumpukan usaha membangunkan negeri," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 12:36 PM