MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS). FOTO Arkib NSTP
MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS). FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Shah Alam: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyumbang RM200,000 kepada 250 masjid dan surau kebenaran solat Jumaat terpilih di negeri itu yang terjejas sumber pendapatan, susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha MAIS Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM1,000 diberikan masing-masing kepada 150 masjid luar bandar, manakala RM500 untuk 60 masjid dalam bandar dan 40 surau kebenaran solat Jumaat.

"Sumbangan berbentuk wang tunai itu diberikan menerusi peruntukan Baitulmal MAIS. Agihan kepada masjid luar bandar telah selesai dilaksanakan, manakala selebihnya akan diproses secara berperingkat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, MAIS berharap sumbangan berkenaan dapat meringankan beban pentadbir masjid dan surau, untuk melunaskan bil utiliti selain menampung keperluan lain, memandangkan kutipan tabung fasiliti itu berkurangan sejak penguatkuasaan PKP pada 18 Mac tahun lalu.

Antara penerima sumbangan itu adalah Masjid Ar-Rohmaniah Kampung Sungai Lang Baru, Kuala Langat; Masjid As-Sajidin Batang Kali, Hulu Selangor; Masjid Tebuk Sultan Sungai Tengar, Sabak Bernam; manakala surau kebenaran solat Jumaat seperti Surau Al-Firdaus, Taman Seri Kembangan; Surau Kampung Setia Kuang dan Surau Al-Ikhlas Kampung Sungai Purun, Semenyih.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 7:23 PM