FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Norzamira Che Noh


SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membenarkan pertambahan bilangan jemaah solat Jumaat dan solat lima waktu di masjid dan surau mengikut jumlah kapasiti sebenar ruang solat masjid dan surau dengan penjarakan sosial 1.5 meter (m) berkuat kuasa hari ini.

Pelaksanaan berkenaan membabitkan semua masjid termasuk surau yang diberi Kebenaran Khas Solat Jumaat oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad berkata, bagi solat Jumaat, jemaah masih perlu melalui proses pendaftaran dan penggiliran seperti mana yang ditetapkan sebelum ini.

"Sistem yang lebih efisien sedang dibuat bagi memudahkan jemaah untuk mendaftar dan menerima maklum balas kehadiran solat Jumaat.

"Bagi pelaksanaan solat lima waktu, kaedah kehadiran jemaah secara terbuka adalah dibenarkan sehingga kapasiti sebenar ruang solat selepas penjarakan sosial 1.5 m dipenuhi atau diisi.

"Bagaimanapun, kehadiran jemaah muslimat (wanita) adalah tidak dibenarkan kecuali di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dan Masjid Diraja Raja Haji Fi Sabililah, Cyberjaya," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, selaras dengan ketetapan baharu itu, JAIS akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, perlanggaran terhadap ketetapan SOP yang ditetapkan akan diambil tindakan tegas dan JAIS tidak akan teragak-agak untuk menarik semula kelonggaran yang diberikan demi menjaga keselamatan dan kemaslahatan para jemaah serta imej agama Islam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 9:35 AM