KHATIJAH (tengah) ketika ditemui pemberita di lokasi pencarian suaminya yang dikhuatiri lemas, Ahmad Amin Ismail. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
KHATIJAH (tengah) ketika ditemui pemberita di lokasi pencarian suaminya yang dikhuatiri lemas, Ahmad Amin Ismail. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Batu Gajah: "Saya reda jika dia ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa, asalkan jasadnya dijumpai," kata Khatijah Din, 59, apabila suaminya masih hilang selepas terjatuh ke dalam longkang di Lebuh Persiaran Klebang 11, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar di Ipoh, Khamis lalu.

Khatijah berkata, walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) suaminya Ahmad Amin Ismail, 58, memasuki hari kelima, hari ini, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berdoa agar suaminya dijumpai biarpun sudah tidak bernyawa.

"Saya harap biarlah dapat melihat jasadnya. Hari-hari saya berdoa dan begitu juga dengan jemaah di surau kawasan perumahan kami, di mana setiap hari mengadakan solat hajat dan bacaan Yassin agar suami dijumpai.

"Malah, saya juga lega sebaik polis memberitahu bahawa operasi mencari suami tidak akan dihentikan dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz.

Katanya, walaupun tiada sebarang 'mimpi' sebagai petunjuk, namun dia sentiasa berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit dan bertungkus-lumus dalam pencarian suaminya.

Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, operasi SAR membabitkan 61 keanggotaan pelbagai agensi diteruskan, hari ini dengan tumpuan pencarian diberi dalam jarak 90 kilometer daripada lokasi mangsa dikatakan terjatuh.

Katanya, tiada sebarang petunjuk baharu ditemui setakat ini, selain beranggapan pencarian semakin mudah disebabkan faktor cuaca yang baik sejak kelmarin sekali gus menyebabkan paras sungai kelihatan cetek.

"Pasukan bomba berusaha keras mencari mangsa biarpun pada sebelah malam. Kita yakin mangsa sudah terlepas ke sungai ini memandangkan terdapat kerosakan pada perangkap sampah di longkang mangsa terjatuh," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Ahmad Amin dikatakan terjatuh ke dalam longkang selepas motosikal ditunggang terbabas sebelum dihanyutkan arus deras longkang berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 4:29 PM