SERAMAI 10 anggota daripada Pasukan Khas MUST Team JPBM turut sama dalam operasi SAR mengesan seorang lagi mangsa dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, petang semalam. FOTO Ihsan JBPM
SERAMAI 10 anggota daripada Pasukan Khas MUST Team JPBM turut sama dalam operasi SAR mengesan seorang lagi mangsa dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, petang semalam. FOTO Ihsan JBPM
Redzuan Muharam

Ampang: Belum ada petunjuk ditemui bagi mengesan Muhammad Rizqullah Mohd Shafie, 10, yang masih hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang Ariff Mohamed Kassim berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan bermula 8 pagi tadi.

Menurutnya, ia membabitkan 25 anggota terdiri daripada anggota BBP Ampang, pasukan Multi Skill Team (MUSTeam) dan Unit Anjing Pengesan (K9) yang membawa anjing bernama Blake Lady dan Pop.

Katanya, turut membantu ialah 37 yang lain daripada pelbagai agensi penyelamat.

"Pencarian terbahagi kepada dua kumpulan iaitu yang bergerak ke hulu dan hilir sungai serta kolam takungan air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Terowong SMART, Berembang, Hulu Klang.

"Belum ada perkembangan positif serta petunjuk ditemui dan diharap mangsa tidak melepasi perangkap sampah.

"Kedalaman sungai adalah melebihi 1.5 meter ketika kejadian berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di tapak operasi dekat Kemensah Dalam, di sini, hari ini, memaklumkan operasi SAR akan diteruskan sehingga jam 8.30 malam hari ini.

Sementara itu, Pegawai Operasi Hulu Langat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Mohamad Akmal Mohamad Khairi berkata, mangsa pertama ditemukan di tepian sungai dan ada kemungkinan Muhammad Rizqullah ditemui di tempat sama.

"Mangsa pertama ditemui di laluan sungai yang ada kesan runtuhan kemungkinan akibat batuan di lereng bukit.

"Jadi, 10 anggota MUSTeam akan membersihkan kawasan runtuhan dengan harapan dapat menemui mangsa kedua di dasar jika ada.

"Skop pencarian akan diperluaskan dan kita beranggapan akan menemui mangsa jika ada di laluan sungai," katanya.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan dua kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, di sini.

Mangsa pertama, Wan Muhammad Ammar Wan Mohd Noor Hafizan, 8, ditemukan pada 6.30 petang semalam pada jarak 200 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 3:03 PM