Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Mungkin ramai tidak mengetahui kewujudan Air Terjun Tanjung Batu di Pantai Remis, di sini, yang mempunyai keunikannya tersendiri.

Terletak dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) Segari Melintang, air terjun itu dianggap 'permata tersembunyi' yang sering menjadi lokasi penduduk setempat untuk menikmati keindahan alam sekali gus melakukan aktiviti mendaki di Bukit Segari.

Namun, keindahan dimiliki air terjun dan alam semula jadi kawasan sekitarnya itu semakin lenyap apabila aktiviti kuari mula dikesan di kawasan berkenaan sejak Julai tahun lalu.

Difahamkan, aktiviti itu termasuk pembersihan hutan dilaksanakan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

Timbalan Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Ismady Radzuan berkata, kegiatan itu menimbulkan kegusaran apabila pokok ditebang secara tidak terancang hingga mencacatkan keindahan landskap air terjun berkenaan.

Katanya, dia menyedari 'kerosakan' di kawasan air terjun seluas hampir satu hektar dengan ketinggian 300 meter itu semakin serius ketika membuat tinjauan untuk penanaman pokok bakau di kawasan berhampiran pada 14 Januari lalu.

"Ini sangat mengecewakan kita kerana aktiviti itu memusnahkan hampir 90 peratus air terjun yang sebelum ini mempunyai lubuk (kolam) hampir di setiap tujuh peringkat air terjun," katanya ketika ditemui, hari ini.

Wartawan yang berkesempatan mengikuti tinjauan bersama Kuasa ke lokasi berkenaan mendapati dakwaan mengenai kesan aktiviti itu yang memusnahkan alam semula jadi ternyata benar.

Ismady berkata, mereka pernah membuat bantahan pada 2017 mengenai aktiviti kuari di kawasan itu dan kerajaan negeri didakwa bersetuju dengan cadangan untuk tidak mengeluarkan permit baharu untuk aktiviti berkenaan.

"Aktiviti sedia ada yang sebelum ini memang sudah tidak boleh buat apa, tetapi hari ini masih ada aktiviti baharu. Itu yang kita pertikaikan kerana dahulu (kerajaan negeri) kata tidak setuju.

"Kawasan ini menjadi tumpuan penggiat aktiviti luar biarpun tidak dibuka kepada awam kerana ia adalah HSK selain memerlukan permit untuk masuk ke sini," katanya.

Katanya, pihaknya bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) pernah beberapa kali menggesa pihak berkuasa negeri mewartakan keseluruhan hutan simpan itu sebagai hutan perlindungan terutama sebagai Hutan Taman Negeri.

Sementara itu, penduduk Ishak Mohamad, 63, berkata keadaan di air terjun berkenaan ketika ini sangat menyedihkan berbanding 43 tahun lalu dan seharusnya khazanah alam semula jadi itu perlu terus dipelihara.

"Air terjun ini dahulu memang sangat cantik, sebab itu saya berharap pihak berwajib dapat melihat keadaan ini supaya alam semula jadi terus terpelihara.

"Kami bukan membantah pembangunan dan sektor ekonomi, tetapi pihak berkaitan perlu prihatin dengan alam sekitar dan mempunyai tanggungjawab.

"Kita mahu ia kembali pulih dan tidak mahu lagi berlaku kerakusan manusia yang mencari kepentingan hingga menyebabkan alam semula jadi musnah dan perkara ini perlu diambil perhatian," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata, Jabatan Perhutanan Negeri dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah diarahkan untuk membuat laporan berhubung keadaan itu.

"Sekiranya apa yang berlaku itu disebabkan kegagalan pematuhan dalam syarat lesen maka tindakan tegas akan diambil kepada pihak berkaitan.

"Kerajaan negeri memandang serius isu ini dan memberi jaminan untuk menyelesaikan dan mencari punca sebenar dalam masa terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 9:08 PM
KEADAAN Air Terjun Tanjung Batu  yang terletak di dalam kawasan hutan simpan Segari Melintang kelihatan musnah akibat daripada aktiviti kuari batu ketika tinjauan. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
KEADAAN Air Terjun Tanjung Batu yang terletak di dalam kawasan hutan simpan Segari Melintang kelihatan musnah akibat daripada aktiviti kuari batu ketika tinjauan. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM