Laporan Portal Harian Metro.
Laporan Portal Harian Metro.
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenal pasti enam ketidakpatuhan syarat kelulusan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) dilakukan pihak yang melakukan aktiviti kuari di kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Segari di sini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini berkata, siasatan sudah dilakukan JAS Perak di Hutan Simpan Segari Melintang pada kelmarin dan semalam.

Menurutnya, kemusnahan alam sekitar di kawasan berkenaan berpunca daripada tapak projek kuari granit.

"Siasatan awal mendapati terdapat enam ketidakpatuhan syarat kelulusan EIA terutama membabitkan kerja tanah yang dijalankan tanpa mengikut pelan Land Disturbing-Pollution Prevention and Mitigation Measures (LD-P2M2).

"Notis arahan sudah dikeluarkan untuk tindakan remedi," katanya.

Beliau berkata, JAS Perak sedang melengkapkan kertas siasatan dan memanggil pihak berkaitan.

Media sebelum ini melaporkan keindahan dimiliki air terjun itu dan alam semula jadi di kawasan sekitarnya hampir lenyap apabila aktiviti kuari dan pembersihan hutan mula dikesan di kawasan berkenaan sejak Julai tahun lalu.

Keadaan itu membuktikan kerakusan pihak terbabit yang tidak mementingkan alam semula jadi hingga menyebabkan landskap air terjun itu berubah hampir sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 11:58 AM