Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan aktiviti kuari di kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Segari di sini, kerana melanggar syarat kelulusan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA).

Pengarah JAS Perak Rosli Zul berkata, tindakan itu diambil mengikut Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana pelaksanaan aktiviti itu tidak mematuhi komitmen yang dibuat pihak pemaju seperti dalam syarat kelulusan EIA pada 2017.

Menurutnya, pihaknya juga mengeluarkan notis arahan kepada syarikat berkenaan untuk pihak itu mengambil langkah penambahbaikan.

"Dapatan yang dilakukan pegawai di lapangan mendapati, pihak berkenaan tidak mematuhi komitmen dalam EIA dan difahamkan, ia juga membabitkan pencerobohan rizab sungai dan walaupun sungai itu berada dalam kawasan pembangunan mereka, tetapi ia perlu dikekalkan.

"Selain itu, dapatan juga mendapati mereka menolak sisa (kayu) itu ke sungai, sebab itu berlakunya impak seperti mana yang dilihat," katanya dihubungi Harian Metro hari ini.

Rosli berkata, pihak berkenaan juga didapati tidak menyediakan langkah kawalan sewajarnya, selain tidak mempunyai individu yang memiliki kepakaran dan pengalaman untuk pemantauan.

Katanya, kualiti air tidak terlalu terjejas cuma perubahan warna adalah disebabkan penurunan tanah, namun pihaknya masih menunggu laporan dan anggaran kos baik pulih yang diperlukan juga perlu menunggu penilaian dibuat.

Sementara itu, tinjauan di lokasi mendapati, kawasan berkenaan belum dibersihkan sepenuhnya dengan sisa kayu dan pokok yang ditebang masih ada termasuk yang dihanyutkan ke aliran sungai.

Kesan jentera berat juga dapat dilihat di kawasan itu.

Pegawai JAS dan Jabatan Perhutanan juga dilihat menjalankan siasatan lanjut di lokasi berkenaan.

Beberapa penggiat seni Laman Karya Lumut turut mendeklamasi beberapa puisi berunsurkan hutan untuk menggambarkan kesedihan mereka dengan kerosakan alam semula jadi di kawasan itu.

Timbalan Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) Ismady Radzuan berkata, hasil pemerhatiannya mendapati, kerja pembersihan kira-kira 10 peratus dan masih ada sisa kayu di kawasan itu.

Dia berharap pihak berkenaan dapat melantik pakar pemulihan alam semula jadi untuk menyelesaikan masalah supaya tindakan dan kajian sepatutnya dapat dibuat.

"Mungkin ketika ini kerja pembersihan pada peringkat permulaan dan mereka masih melihat tatacara bagaimana untuk menguruskan perkara ini, tetapi penggunaan jentera berat mungkin akan memberi kesan lebih teruk kepada kawasan ini.

"Tumbuhan penutup bumi perlu ditanam di kawasan ini untuk menghalang hakisan tanah serta tanah tidak jatuh ke bawah yang boleh menyebabkan air sungai bertukar keruh," katanya.

Ismady turut memaklumkan yang Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad juga sudah melawat air terjun berkenaan pada Ahad.

Media sebelum ini melaporkan, keindahan dimiliki air terjun itu dan alam semula jadi di kawasan sekitarnya hampir lenyap apabila aktiviti kuari dan pembersihan hutan mula dikesan di kawasan berkenaan sejak Julai tahun lalu.

Keadaan itu membuktikan kerakusan pihak terbabit yang tidak mementingkan alam semula jadi hingga menyebabkan landskap air terjun itu berubah hampir sepenuhnya.

ISMADY melihat aliran air sungai di kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Segari di Manjung. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
ISMADY melihat aliran air sungai di kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Segari di Manjung. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Berita berkaitan

SPRM tidak terima laporan aktiviti kuari

Aktiviti di Air Terjun Tanjung Batu dihentikan sementara

'Keindahan Air Terjun Tanjung Batu diancam [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 3:46 PM