Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan bertungkus lumus memadamkan kebakaran dalam kejadian di Kampung Batu Arang hari ini. FOTO BERNAMA
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan bertungkus lumus memadamkan kebakaran dalam kejadian di Kampung Batu Arang hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Labuan: Seorang wanita cedera manakala 46 penghuni hilang tempat tinggal selepas empat rumah kayu musnah dalam kebakaran di Kampung Batu Arang, Jalan Tun Mustapha, di sini, hari ini.

Mangsa yang kebanyakannya dewasa, berada di rumah ketika kebakaran itu berlaku pada 11 pagi, menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Labuan Ismaidi Ismail.

Beliau berkata, mangsa yang berusia 30 tahun itu mengalami kecederaan di muka ketika cuba menyelamatkan diri manakala penghuni lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, 21 anggota dengan tiga jentera dikerah ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 11.18 pagi.

"Sebaik mereka tiba, dua rumah (rumah kongsi 17 pintu) hampir musnah manakala dua lagi rumah bersebelahan, antara 10 dan 80 peratus terbakar," katanya.

Anggota bomba mengambil masa hampir satu jam untuk memadamkan api.

Punca kebakaran masih belum dapat dipastikan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 5:16 PM