GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


DUA lelaki dicekup manakala seorang lagi menjadi buruan selepas mereka mengamuk dengan mengugut ahli keluarga masing-masing dalam kejadian semalam dan kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang kelmarin, polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun di Pekan Darat, Sungai Dua apabila mengamuk dan mengacukan pisau pada ibu kandung dan adiknya kerana tidak diberikan wang RM50 seperti diminta.

Terdahulu, seorang lelaki berusia 44 tahun ditahan selepas mengugut bapanya berusia 78 tahun dengan sebilah sabit di Penaga, jam 5 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dua suspek ditahan kerana mengancam keselamatan ahli keluarga dan dibimbangi berlaku perkara di luar jangka.

“Dalam kes di Penaga, anggota polis yang mengadakan rondaan cegah jenayah bertindak menahan suspek kerana mengugut bapa kandungnya dengan sebilah sabit dan ia bukan kejadian kali pertama berlaku.

“Menurut bapanya, suspek sering mengamuk dan mengugut mereka sekeluarga akibat berada dalam pengaruh dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noorzainy berkata, dalam kes di Pekan Darat, adik suspek memaklumkan abangnya mengacukan pisau ke arah dia dan ibu mereka kerana tidak memberikannya wang seperti diminta.

“Adiknya datang membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan mereka sekeluarga apatah lagi tindakan suspek yang sering berkelakuan di luar jangka.

“Selain diacukan pisau, suspek turut menoreh tayar kereta ibunya sehingga pecah dan merosakkan pintu di bilik atas rumah mereka,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Noorzainy berkata, polis memburu seorang suspek berusia 32 tahun yang dikatakan mengugut mahu membunuh ibunya dalam kejadian di Kampung Pinang Raja, Pinang Tunggal, jam 12.40 tengah hari semalam.

“Dalam kejadian ini, suspek dikatakan memegang paku dan menggugut mahu membunuh ibunya.

“Pada ketika itu, ibunya hanya mengajak suspek untuk makan bersama, namun dia tiba-tiba sahaja mengamuk dipercayai berada dalam pengaruh dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 5:35 PM