SAZLI Zakaria (kiri) menyampaikan sumbangan berupa komputer dan barangan kesihatan kepada S Veerapan. FOTO ihsan Petronas
SAZLI Zakaria (kiri) menyampaikan sumbangan berupa komputer dan barangan kesihatan kepada S Veerapan. FOTO ihsan Petronas
Omar Ahmad


Johor Bahru: Sebanyak 51 unit komputer riba dan barangan keperluan disumbangkan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) kepada barisan hadapan bagi melancarkan tugasan menangani kes Covid-19.

Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan, Sazli Zakaria berkata, nilai sumbangan berjumlah RM140,000 itu diagihkan kepada petugas barisan hadapan di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Katanya, langkah itu bagi menyokong penuh usaha kerajaan dan petugas barisan, seterusnya mencapai imuniti kelompok serta fasa endemik.

"Sumbangan ini diagihkan kepada beberapa lokasi antaranya, 20 unit komputer riba, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka bernilai RM51,000 yang diserahkan kepada Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 (PKRC) Olive, Hospital Permai, pada 20 Oktober lalu.

"PKRC Olive adalah PKRC kedua di negeri Johor dan mampu menampung sehingga 540 orang pesakit Covid-19 terdiri daripada golongan wanita, ibu mengandung dan kanak-kanak.

"Petronas juga menyerahkan sumbangan lima unit komputer riba, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka bernilai RM13,500 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sekitar daerah Kota Tinggi. Ini termasuklah program 'Outreach' dan MOVAK yang diadakan di kawasan Felda, perkampungan Orang Asli dan ladang," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Sazli, di Melaka pula, pihaknya menyampaikan sumbangan 20 unit komputer riba, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka bernilai RM51,000, untuk kegunaan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan Jabatan Kesihatan Melaka yang diserahkan pada 21 Oktober lalu.

"Selain itu, sumbangan cecair pembasmi kuman dan pelitup muka bernilai RM5,000 telah diserahkan PKRC MITC Melaka untuk kegunaan pusat kuarantin terbabit.

"Manakala bagi Negeri Sembilan pula, sumbangan berupa enam unit komputer riba bernilai RM15,000 telah diserahkan untuk kegunaan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, pada 22 Oktober lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 12:32 PM