FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kangar: Orang ramai di negeri ini yang tinggal bersama individu terbabit dengan aktiviti rentas negeri, tidak dibenarkan hadir ke masjid walaupun mereka sudah melengkapkan dos suntikan vaksin Covid-19, demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah, langkah memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pengimarahan masjid di negeri itu dibuat, berikutan pertambahan jumlah kes Covid-19 di negeri itu dan ia juga sudah mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah hanya jemaah terdiri daripada anak kariah yang berusia antara 12 hingga 52 tahun sahaja dibenarkan hadir ke masjid, manakala bagi mereka yang berusia 60 tahun ke atas, dibenarkan jika sudah melengkapkan dos vaksin Covid-19.

"Larangan turut dilakukan ke atas mereka yang berstatus Inidividu Bawah Siasatan (PUI), Individu Bawah Pengawasan (PUS) dan memiliki risiko untuk dijangkiti.

"Semua jemaah yang hadir hendaklah mematuhi SOP keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan," titah baginda menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), hari ini.

Baginda juga bertitah, SOP pengimarahan masjid di Kuala Perlis turut diperketatkan, yang mana tempoh azan hingga selesai Solat Jumaat adalah 20 minit, manakala tempoh bermula iqamah dan waktu bersurai bagi solat fardu adalah 15 minit.

Titah baginda, pelaksanaan SOP ketat bagi masjid-masjid di kawasan Kuala Perlis berkuatkuasa serta-merta sehingga tempoh yang akan dimaklumkan, bergantung kepada keadaan dan keperluan semasa.

Baginda bertitah semua aktiviti pengimarahan seperti kuliah agama, ceramah dan sebagainya, tidak dibenarkan buat masa ini selain jemaah perlu segera beredar selepas selesai menunaikan solat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 11:48 AM