KEMALANGAN yang membabitkan dua kenderaan di Jalan Pantai, Batu 1, berhadapan simpang Sunshine Bay, Port Dickson. FOTO Ihsan Bomba
KEMALANGAN yang membabitkan dua kenderaan di Jalan Pantai, Batu 1, berhadapan simpang Sunshine Bay, Port Dickson. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Seorang maut, manakala tiga lagi parah apabila dua kereta bertembung dalam kemalangan di Kilometer 3, Jalan Pantai, Batu 1, berhadapan simpang Sunshine Bay, di sini, malam ini.

Kemalangan pada 7.15 malam itu membabitkan kereta Proton Preve yang dalam perjalanan menuju ke bandar Port Dickson bertembung dengan kereta Perodua Alza di selekoh simpang jalan di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson Mohd Hairul Izam Mazelan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 7.15 malam berhubung kejadian dan sebuah jentera bersama lapan anggota terus ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, bomba mendapati kesemua mangsa sudah dikeluarkan orang awam dan pengguna jalan raya.

"Pegawai Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) melakukan rawatan awal bagi membantu mangsa yang parah," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, semua mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson sebelum seorang daripada mangsa iaitu A Mallika, 52, dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital itu.

Katanya, tiga mangsa parah membabitkan dua wanita berusia 40-an, lelaki berusia 20-an dan kanak-kanak perempuan berusia lingkungan belasan tahun masih menerima rawatan di hospital sama

"Siasatan awal mendapati kereta Perodua Alza dari arah Teluk Kemang menghala ke Port Dickson didapati hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Proton Preve.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 11:47 PM