Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Apa pun yang akan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin esok dalam langkah kerajaan untuk memerangi virus Covid-19 kian memuncak, orang ramai yakin barangan keperluan asas negara mencukupi.

Tinjauan Harian Metro di pasar raya besar di Desa Petaling di sini, mendapati barangan keperluan asas seperti minyak masak, susu, beras, air mineral dan barang dapur tidak berkurangan sekali gus tiada pembelian panik.

Seorang pelanggan, Yong Tai Wai, 70, berkata situasi kali ini berbeza berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac tahun lalu apabila rak menempatkan barangan keperluan banyak kosong berikutan ramai membuat pembelian panik.

"Hari ini saya beli sayur dan sikit barang lain, di rumah pun saya ada simpan sikit makanan. Tak payah simpan banyak, nanti rosak. Biasanya seminggu sekali saya keluar cari barang dapur," katanya.

Menurutnya, kerajaan sudah berkali-kali memberi jaminan bahawa bekalan makanan dan keperluan di negara sentiasa mencukupi, malah orang ramai dibenarkan keluar untuk ke pasar raya bagi mendapatkannya jika langkah lebih ketat dilaksanakan bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

Manakala seorang lagi pelanggan, Muhamad Nor Rahimi Serat, 31, berpandangan tidak perlu buat pembelian panik walaupun jika kerajaan melaksanakan semula PKP.

GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama

" Namun saya yakin tiada larangan untuk keluar membeli barang makanan jika dilaksanakan langkah lebih ketat, cuma mungkin hanya seorang sahaja dibenarkan keluar.

"Tindakan pembelian panik hanya menyebabkan sesebuah pasar raya menjadi sesak dan situasi itu berisiko berlaku penularan virus Covid-19," katanya.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan barangan keperluan mencukupi serta mampu untuk menampung keperluan secara berterusan.

Menerusi kenyataan media, Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, situasi pembelian panik tidak sepatutnya berlaku kerana hasil pemantauan anggota penguat kuasa KPDNHEP mendapati bekalan barangan di semua sektor peruncitan mencukupi.

Namun beliau mengambil maklum situasi demikian mungkin berlaku di sesetengah tempat disebabkan pengumuman khas yang diadakan Perdana Menteri, esok.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 4:28 PM