ORANG ramai beratur panjang untuk melakukan saringan Covid-19 di Dewan Pusat Sivik, di sini, hari ini. FOTO Ramli Ibrahim
ORANG ramai beratur panjang untuk melakukan saringan Covid-19 di Dewan Pusat Sivik, di sini, hari ini. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

Gua Musang: Disebabkan dua pemimpin tempatan disahkan positif Covid-19, ramai penduduk yang menjadi kontak rapat tampil menjalani saringan di Dewan Pusat Sivik di sini, hari ini.

Mereka tampil menjalani saringan secara terbuka oleh Jabatan Kesihatan Daerah di dewan itu.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Ab Aziz Yusoff bersama Ketua Pemuda Umno Gua Musang Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani disahkan positif Covid-19.

Dua pemimpin itu dihantar menerima rawatan serta dikuarantin di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai dan berada dalam keadaan stabil.

Seorang penduduk, Saliman Abdullah, 56, berkata, dia secara rela hati tampil untuk menjalani saringan Covid-19 kerana bimbang jakitan itu.

Katanya, ia kerana dia bersama wakil rakyat terbabit ketika membantu mangsa banjir di kawasan DUN terbabit.

Dia terkejut apabila mendapat tahu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri positif Covid-19 sebelum dia mengambil keputusan untuk melakukan saringan hari ini.

"Alhamdulillah, keputusan saringan itu negatif Covid-19," katanya.

Seorang lagi penduduk, Noor Husni Abdul Latif, 45, pula mengakui ADUN berkenaan sibuk membantu mangsa banjir seminggu lalu.

"Saya juga ada bersama dia dan hari ini tampil dengan kerelaan hati untuk menjalani saringan Covid-19," katanya.

Sementara itu, Ab Aziz dan Mohd Azmawi Fikri dalam hantaran di Facebooknya mohon rakyat di kawasan Parlimen Gua Musang doakan mereka selamat.

"Kami memohon doa rakyat supaya diberi kesembuhan dan kekuatan untuk menempuhi dugaan Allah.

"Kami juga mohon maaf di atas kekhilafan. Semoga Allah permudahkan segalanya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 3:52 PM