Ab Aziz (tengah) menyerahkan katil khas kepada OKU Mohamad Saifulhafizal dirumahnya di RKT kesedar Sungai Asap B, Gua Musang. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ab Aziz (tengah) menyerahkan katil khas kepada OKU Mohamad Saifulhafizal dirumahnya di RKT kesedar Sungai Asap B, Gua Musang. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Nasib yang menimpa pemuda Orang Kurang Upaya (OKU) Mohamad Saifulhafizal Mohd Yaki, 27, yang memerlukan bantuan katil khas akhirnya terbela.

Sharifah Che Mat, 53, berkata dia bersyukur kerana akhirnya Mohamad Saifulhafizal tidak lagi terlantar di atas lantai berikutan dia tidak mampu menyediakan tempat yang selesa untuk anaknya itu.

Dia yang tinggal di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Sungai Asap B, dekat sini, berasa lega kerana dengan bantuan katil khas itu akan memudahkan dia menguruskan anaknya setiap hari.

"Selama ini anak yang hanya seberat 20 kilogram terlantar atas lantai kerana saya tidak mampu membeli katil berikutan tidak ada pendapatan.

"Anak saya cacat ketika berusia setahun apabila demam panas menyebabkan dia tidak boleh bercakap dan saya perlu menjaganya sepenuh masa.

"Saya perlu mendukung dia untuk setiap kali ke bilik air kerana tidak mempunyai kerusi roda," katanya ketika ditemui hari ini.

Sharifah berkata, katil khas untuk anaknya itu bukan sahaja untuk mudah Mohamad Saifulhafizal tidur tetapi juga mandi.

"Selepas ada kemudahan kerusi roda boleh meringan penjagaannya terutama ketika hendak membawa dia ke bilik air dan tidak lagi dibiarkan terlantar atas lantai, "katanya.

Bantuan katil khas itu adalah sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Ab Aziz Yusoff, hari ini.

Ab Aziz bersama Yang Dipertua Majlis Belia Jajahan (MBJ), Mohd Azmawi Fikri Ab Ghani menyerah katil khas kepada Mohamad Saifulhafizal di rumahnya hari ini.

Sementara itu, Ab Aziz berkata pihaknya bersimpati dengan nasib Mohamad Saifulhafizal yang terlantar atas lantai sejak umur 26 tahun lagi.

Beliau juga sudah beberapa kali melawatnya dan menerima permohonan Sharifah untuk mendapatkan bantuan katil khas bagi mengatasi kesulitan anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 6:37 PM