MOHD Syahbuddin Hashim dan isterinya, Nor Azila Sidi Ahmad. FOTO Facebook Mohd Syahbuddin Hashim
MOHD Syahbuddin Hashim dan isterinya, Nor Azila Sidi Ahmad. FOTO Facebook Mohd Syahbuddin Hashim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: "Alhamdulillah, kesihatan saya bersama isteri bertambah baik," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim.

Beliau yang positif Covid-19 bersama isterinya, Nor Azila Sidi Ahmad menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai sejak 11 Januari lalu.

Beliau berkata, kesihatan Adun Nenggiri, Ab Aziz Yusoff bersama isteri, Roshana Hashim yang positif Covid-19 dan menerima rawatan di hospital, semakin baik.

"Banyak perubahan dirasakan selepas menerima rawatan dan ia hasil daripada doa rakyat di kawasan Gua Musang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Turut positif Covid-19 adalah Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian Gua Musang, Mohd Asmawi Fikri Ab Ghani bersama isterinya, Noor Khamila Mohd Zain, yang menerima rawatan di hospital sama.

Turut dirawat di hospital sama adalah Timbalan Ketua Wanita Umno bahagian, Ruhaida Abdul Hamid dan suaminya, Mat Te Mat Sin.

Adun Paloh, Amran Ariffin didapati negatif Covid-19 selepas menerima keputusan ujian saringan itu dan kini menjalani kuarantin selama 14 hari di rumahnya.

Mohd Syahbuddin berkata, beliau mengetahui Ab Aziz positif Covid-19 pada 9 Januari lalu sebelum beliau turut menjalani ujian saringan dan disahkan positif.

"Sebelum itu, kami bersama Ab Aziz menjalani kuarantin di rumah sambil menunggu keputusan ujian saringan dan setelah disahkan positif baru dihantar ke HSIP Kuala Krai.

"Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang positif Covid-19 dan menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Kuala Lumpur dilaporkan stabil.

"Begitu juga Pegawai Peribadi Tengku Razaleigh, Mohd Lokman Abdu Ghani yang turut positif Covid-19 menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur dna saya dimaklumkan dia semakin sihat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 4:20 PM