SEBAHAGIAN daripada 36 PATI yang ditahan ketika cuba menyelinap masuk melalui persisiran pantai berdekatan Sungai Kapar. FOTO Ihsan IPD Klang Utara
SEBAHAGIAN daripada 36 PATI yang ditahan ketika cuba menyelinap masuk melalui persisiran pantai berdekatan Sungai Kapar. FOTO Ihsan IPD Klang Utara
Norzamira Che Noh

Klang: Seramai 36 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan ketika cuba menyelinap masuk ke negara ini menerusi persisiran pantai berdekatan Sungai Kapar dekat sini.

Timbalan Ketua Polis Klang Utara, Superintendan Mohd Khairi Shafie berkata, Pasukan Gerakan Am (PGA) pos Tok Muda menerima maklumat daripada orang awam berhubung pendaratan PATI di persisiran pantai berdekatan Sungai Kapar sekitar jam 5 pagi tadi.

Katanya, susulan maklumat itu, anggota PGA ke lokasi itu sebelum menahan 36 PATI dengan bantuan orang kampung.

"Seramai 31 PATI terbabit adalah warga Myanmar membabitkan 16 wanita, lapan lelaki serta tujuh kanak-kanak manakala lima lagi PATI adalah wanita warga Indonesia.

"Kesemua tangkapan berusia lingkungan dua hingga 49 tahun," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua PATI itu dipercayai bergerak daripada Tanjung Balai, Indonesia dengan menggunakan sebuah kapal pada Ahad lalu dan tiba di persisiran pantai sekitar jam 11 malam kelmarin.

Katanya, dua lelaki warga Myanmar berusia 19 dan 24 tahun yang berada di sekitar tempat kejadian turut ditahan kerana mahu mengambil kesemua PATI yang baru tiba itu.

Turut dirampas adalah sebuah kereta Honda City dan pelbagai jenis telefon bimbit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Terdahulu, pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar menyelamatkan seorang wanita serta tiga kanak-kanak warga asing yang terperangkap dalam lumpur ketika cuba menyelinap masuk menerusi perairan negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 7:12 PM