AHMAD Shabery (dua dari kiri) bersama Shafik (dua dari kanan) beramah mesra bersama nelayan selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Pengusaha dan Nelayan di Kompleks LKIM, semalam.
AHMAD Shabery (dua dari kiri) bersama Shafik (dua dari kanan) beramah mesra bersama nelayan selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Pengusaha dan Nelayan di Kompleks LKIM, semalam.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuantan: Kerajaan akan mengenal pasti beberapa lokasi di negara ini yang sesuai dijadikan Bandar Perikanan untuk mengembangkan industri perikanan di kawasan berkenaan selain merancakkan industri pelancongan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, cadangan itu sudah dimaklumkan kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk mencari lokasi bersesuaian supaya Bandar Perikanan menjadi tarikan industri pelancongan.

“Kalau kami lihat di sini (jeti LKIM Kuantan) memang sesuai kerana ia jeti pendaratan hasil laut antara terbesar di negara ini, kita boleh jadikan kawasan pendaratan ikan di San Francisco, Amerika Syarikat sebagai model terbaik.

“Untuk permulaan, kami akan pilih dua atau tiga jeti pendaratan ikan yang sesuai untuk dijadikan Bandar Perikanan yang mana mungkin boleh diwujudkan restoran nelayan atau makanan laut secara sistematik. Buat masa ini saya lihat belum ada lagi di negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Pengusaha dan Nelayan di Kompleks LKIM, di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Pahang, Datuk Shafik Fauzan Sharif dan Ketua Pengarah LKIM, M Saedon Ab Majid.

Beliau berkata, Bandar Perikanan yang diwujudkan itu nanti bukan saja memberikan keuntungan kepada nelayan, malah pengusaha industri pelancongan apabila ia berjaya dikomersialkan secara meluas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 3:18 AM