Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kerajaan negeri memberi jaminan Jalan Chikus yang menghubungkan pekan Chikus dan Jalan Attaduri ke Teluk Intan yang sebahagiannya runtuh akibat arus deras, semalam dijangka siap dibaiki dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kerja baik pulih dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan disiapkan dengan segera bagi membolehkan penduduk menggunakan semula laluan berkenaan.

"Cadangan pembaikan adalah menggunakan 'sheetpile' untuk mengukuhkan tebing jalan dan mengelakkan hakisan serta pembinaan semula jalan berkenaan.

"Struktur jambatan sedia ada juga dicadangkan agar dinaikkan lebih tinggi dari aras sungai bagi mengelakkan hakisan struktur," katanya pada sidang media di Pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Mohd Zolkafly berkata, setakat ini penduduk boleh mengguna empat laluan alternatif iaitu Jalan Changkat Jong-Kampar, Jalan Sungai Lampam-Sungai Tunku, Jalan Sungai Manik, Labu Kubong dan Jalan Attaduri.

Menurutunya, pada masa sama pihaknya juga akan meminta agensi lain untuk bekerjasama dengan pihak JKR mengenai aliran sungai dan sebagainya yang mengakibatkan arus deras hingga menjejaskan struktur tanah di laluan berkenaan.

"Saya juga meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri untuk mengambil perhatian dalam perkara ini dan beberapa isu lain yang perlu ditangani dengan baik di kawasan berkenaan," katanya

Katanya, penyiasatan secara visual yang dijalankan JKR Perak mendapati air deras dari Sungai Batang Padang melimpah serta menghakis tebing jalan.

DATUK Mohd Zolkafly Harun hadir pada sidang media berhubung isu bencana banjir di Pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO Balqis Jazimah Zahari
DATUK Mohd Zolkafly Harun hadir pada sidang media berhubung isu bencana banjir di Pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO Balqis Jazimah Zahari

"Hakisan berkenaan mengakibatkan jalan rebak dan runtuh. Lebar jalan adalah 10 meter dan kejadian berlaku di atas jalan adalah sepanjang 100 meter.

"Jambatan di laluan berkenaan buat masa ini masih stabil dan kukuh, pihak forensik dijangka akan membuat pemeriksaan terperinci dalam masa terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 4:39 PM