Keadaan tanah runtuh di Seksyen 27 FT 185 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley (Cameron Highlands) tengah hari tadi. FOTO Ihsan Pembaca
Keadaan tanah runtuh di Seksyen 27 FT 185 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley (Cameron Highlands) tengah hari tadi. FOTO Ihsan Pembaca
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Kejadian tanah runtuh di Seksyen 27 FT 185 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley (Cameron Highlands) tengah hari tadi membabitkan runtuhan sepanjang 100 meter di kawasan cerun potong.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kejadian yang dilaporkan kira-kira 1.40 tengah hari itu menyebabkan laluan ditutup kepada semua jenis kenderaan.

Katanya, laluan berkenaan tidak selamat untuk dilalui dan dikawal ketat oleh pihak konsesi iaitu Belati Wangsa Sdn Bhd.

"Punca kejadian masih dalam siasatan. (Namun) hujan berterusan menyebabkan berlaku hakisan tanah.

"Pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa oleh JKR Daerah serta pihak konsesi jalan persekutuan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu media melaporkan sebuah kenderaan dinaiki beberapa penumpang dipercayai tertimbus tanah runtuh dalam kejadian di jalan utama Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands itu.

Kejadian berlaku ketika laluan alternatif ke Cameron Highlands iaitu di Seksyen 33, FT 059 Jalan Tapah-Ringlet masih ditutup berikutan kejadian tanah runtuh pada 23 November lalu.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kinta dalam hantaran di Facebook yang berbentuk notis pemberitahuan, berkata laluan FT 185 ditutup sepenuhnya kepada semua trafik bermula jam 3 petang tadi sehingga dimaklumkan kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 5:31 PM