GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selisek beroperasi semula pada 7 pagi, hari ini.

Menurut Facebook Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), ia susulan paras sungai surut dan membolehkan LRA beroperasi semula.

"Air Selangor sedang berusaha untuk menstabilkan sistem bekalan air. Pengguna yang terjejas dijangka akan mendapat bekalan air pada 10 pagi ini secara berperingkat mengikut jarak dan lokasi premis pengguna.

"Pemulihan sepenuhnya bekalan air di lapan kawasan terjejas dijangka pada 7 pagi esok (5 Januari)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Air Selangor juga telah menggerakkan lori tangki untuk menghantar bantuan air kepada pengguna yang terjejas.

"Air Selangor akan memaklumkan perkembangan lanjut insiden ini dan status terkini bekalan air dari semasa ke semasa menerusi www.airselangor.com.

"Pengguna juga boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi kami iaitu aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300," katanya.

Media sebelum ini melaporkan lapan kawasan di wilayah Hulu Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan henti tugas LRA Sungai Selisek ekoran banjir, pada 5.40 petang semalam.

Lapan kawasan terbabit iaitu Kampung Sungai Nilam/ Kampung Seri Pagi, Kampung Lalang, Rumah Murah PKT 2 Sungai Selisek, Kampung Serigala, Kampung Orang Asli, Kampung Bahom, Kampung Sekolah/Kuarters Klinik dan Kampung Gesir Tengah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 10:06 AM