GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Lapan kawasan di wilayah Hulu Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selisek pada 5.40 petang, hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, LRA terbabit dihenti tugas berikutan kenaikan air ke paras kritikal di muka sauk disebabkan hujan berterusan hari ini.

Beliau berkata, kawasan terjejas adalah Kampung Sungai Nilam/ Kampung Seri Pagi, Kampung Lalang, Rumah Murah PKT 2 Sungai Selisek, Kampung Serigala, Kampung Orang Asli, Kampung Bahom, Kampung Sekolah/ Kuarters Klinik dan Kampung Gesir Tengah.

"Jangkaan untuk LRA Sungai Selisek beroperasi semula masih belum dapat dipastikan buat masa ini memandangkan hujan belum berhenti dan paras air masih pada paras kritikal.

"Air Selangor perlu memastikan semua peralatan LRA berada dalam keadaan baik dan boleh dioperasikan tanpa membahayakan keselamatan kakitangan Air Selangor terutama membabitkan arus elektrik," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Elina berkata, pihaknya akan memaklumkan perkembangan lanjut insiden terbabit dan status terkini bekalan air dari semasa ke semasa menerusi laman sesawang www.airselangor.com.

Beliau berkata, pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter, atau menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 9:09 PM