Syafil Syazwan Jefri


PERSONALITI TV, Ras Adiba Radzi, 51, sedih dan terkilan apabila tidak berkesempatan berkongsi rasa bahagia dengan rakan karibnya yang juga pelakon Wafa Abdul Kadir di hari pernikahannya yang berlangsung hari ini.

Ras ketika ditemui berkata, dia sempat meluangkan masa bersama Wafa yang dipanggil Kak Long semalam sebelum dia meninggal dunia akibat kanser peritoneal, jam 1 pagi hari ini.

“Saya ada bersama Kak Long sejak jam dua petang hingga malam semalam. Saya menemaninya dan hari ini saya sepatutnya menghantar jenazahnya ke pusara, namun tidak berkesempatan kerana hari ini juga saya melangsungkan pernikahan," katanya.

PERSONALITI TV Ras Adiba Radzi selamat diijabkabulkan dengan Mohamed Azam Ali di Masjid Jamek Al Khadijah, Pantai Dalam. NSTP/ AZIAH AZMEE
PERSONALITI TV Ras Adiba Radzi selamat diijabkabulkan dengan Mohamed Azam Ali di Masjid Jamek Al Khadijah, Pantai Dalam. NSTP/ AZIAH AZMEE

Ras sah bergelar isteri kepada Mohamed Azam Ali, 57, dengan dua kali lafaz jam 2.38 petang hari di Masjid Jamek Al-Khadijiah, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Pasangan dinikahkan bapa Ras, Mohd Radzi Wahab dengan mas kahwin RM300 disaksikan imam masjid berkenaan, Ustaz Yahya Mat Husin.

Ras dan Azam mula mengenali sejak kedua-duanya bekerja di TV3 pada 1986 dan mula rapat pada Disember tahun lalu.

Perkahwinan kali ini adalah yang ketiga buat Ras dan kedua untuk Azam.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Ras dikurniakan dua cahaya mata manakala Azam pula dikurniakan enam cahaya mata.

Majlis akad nikah itu dihadiri keluarga dan rakan-rakan daripada kedua-dua belah pihak.

Hadir sama, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 4:25 PM