RAS Adiba terpaksa tangguhkan pembedahan kerana perlukan masa untuk mengumpul wang. Foto Salhani Ibrahim
RAS Adiba terpaksa tangguhkan pembedahan kerana perlukan masa untuk mengumpul wang. Foto Salhani Ibrahim
Syafil Syazwan Jefri


BEKAS personaliti televisyen, Ras Adiba Radzi, 51, menerusi akaun Instagramnya berkongsi mengenai rasa sakit yang dialaminya pagi tadi akibat kecederaan tulang leher bahagian atas tubuhnya.

Ras Adiba yang dihubungi berkata, rasa sakit itu muncul kira-kira jam 3 pagi tadi.

"Rasa sakit itu tiba-tiba muncul kira-kira jam 3 pagi tadi. Tahun lalu, memang doktor dah maklumkan kepada saya bahawa tulang C3, C4 dan C5 ada masalah dan perlu menjalani pembedahan.

"Namun, saya terpaksa tangguhkan pembedahan ini kerana perlukan masa untuk mengumpul wang.

"Daripada apa yang doktor beritahu pada pemeriksaan sebelum ini, tulang C5 saya dah merekah dan pecah. Saya yakin, inilah punca kenapa rasa sakit itu datang," katanya.

Ditanya sama ada dia ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan selepas sakitnya muncul kembali, Ras Adiba memaklumkan dia hanya berehat di rumah bersama keluarga.

"Saya ada di rumah dan hanya terbaring. Suami dan anak ada menjaga saya. Saya tak mampu bergerak kerana sakit yang teramat sangat," katanya.

Di Instagram, Ras Adiba menulis bahawa bahagian leher, belakang dan tangan kanannya berada dalam kekejangan serta kesakitan.

Kecederaan tulang belakangnya itu berpunca daripada kemalangan jalan raya yang dialaminya pada 1996 dan disahkan lumpuh separuh badan pada 2002.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 4:29 PM