Asnah melihat peti sejuk beku miliknya yang hangus. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Asnah melihat peti sejuk beku miliknya yang hangus. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: "Sekelip mata rumah pusaka berusia lebih 50 tahun itu musnah dan paling sedih semua peralatan membuat karipap segera bernilai RM20,000 hangus dijilat api," kata Asnah Yahya.

Asnah, 47, yang juga ibu tunggal dari Kampung Kuala Ibai Pantai, di sini, ditemui di pekarangan rumahnya yang musnah dalam kebakaran pada 8.40 malam Jumaat lalu.

Katanya, ketika kejadian dia bersama empat anaknya ke Kuantan kerana urusan keluarga dan hanya tinggal anak keduanya di rumah.

"Anak kedua, Mohd Badrul Hisham Zaidi, 20, dan rakannya Mohd Arif Yurof , 17, berada di rumah ketika kejadian.

"Berlaku litar pintas di bahagian tengah rumah seterusnya menyebabkan rumah terbakar, maklumlah sistem pendawaian mungkin agak lama memang berisiko menyebabkan kejadian berkenaan.

"Mengikut penilaian dibuat ahli keluarga dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Terengganu nilai kerugian keseluruhan mencecah RM200,000," katanya.

Menurutnya, dia kini buntu memikirkan nasibnya serta lima anak berusia 10 hingga 23 tahun yang sebelum ini menetap di rumah berkenaan.

Katanya, dia berharap pihak bertanggungjawab segera mempertimbangkan permohonan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

"Peralatan membuat karipap segera termasuk mesin menguli dan dua peti sejuk beku musnah dalam kejadian itu.

"Tanpa peralatan itu macam mana saya ingin membuat karipap seterusnya menyara keluarga. Dua anak iaitu Mohd Fakrul Hamidi, 12, Mohd Nasrul Hamidi, 9, pula masih bersekolah dan perlu membuat persediaan menjelang sesi persekolahan 2021," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1100241000143864 atau menghubungi Asnah di talian 01125468365.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 5:06 PM