Mohamed Hasnan (kiri) menyampaikan surat tawaran pembinaan RMR1M kepada Asnah Mustafa, 64, di tapak rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Baru, Wakaf Che Yeh. - Foto FATHIL ASRI
Mohamed Hasnan (kiri) menyampaikan surat tawaran pembinaan RMR1M kepada Asnah Mustafa, 64, di tapak rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Baru, Wakaf Che Yeh. - Foto FATHIL ASRI
Hazira Ahmad Zaidi


MANGSA kebakaran rumah di Kampung Baru, Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Julai lalu, bakal menerima rumah mesra rakyat Syarikat Perumahan Negara Berhad Mesra (SPNB) bernilai RM65,000.

Ibu tunggal, Asnah Mustafa, 64, bakal menduduki rumah itu yang dijangka siap dalam tempoh tiga bulan selepas kontraktor dilantik.

Penyerahan surat tawaran dan dokumen perjanjian Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) itu disampaikan Pengerusi SPNB, Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin, hari ini.

Asnah berkata, sejak kehilangan rumah dalam kejadian itu, dia menumpang di rumah adik dan anaknya yang menetap di Kuala Lumpur serta Pahang.

"Beberapa hari selepas kejadian, adik bongsu saya (Rosinawani Mustafa, 45) ada menghubungi SPND memberitahu kejadian menimpa saya.

“Semalam saya menerima kunjungan Datuk (Mohamed Hasnan) dan beberapa wakil SPNB memaklumkan akan membina rumah baru untuk saya," katanya ketika ditemui di tapak rumahnya, hari ini.

Sementara itu, Mohamed Hasnan berkata, SPNB melalui anak syarikatnya SPNB Mesra Sdn Bhd (MESRA) menerima 11,091 permohonan RMR1M di Kelantan sejak 2002 hingga 31 Ogos lalu dan meluluskan 6,783 permohonan.

"Sebanyak 5,520 unit berjaya disiapkan, 1,157 masih dalam proses dan 106 permohonan masih di peringkat dokumen perjanjian.

"Kita memperuntukkan RM422.12 juta untuk projek rumah mesra di Kelantan dan RM34.22 juta subsidi diberikan kepada pemohon yang layak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 3:55 PM