Mohd Khidir Zakaria


Seremban: Lima suspek disyaki terbabit dalam kes ragut seorang jururawat mengandung tujuh bulan, semalam dihadapkan di Mahkamah Seremban untuk permohonan reman, hari ini.

Semua suspek itu dibenarkan direman selama empat hingga tujuh hari, bermula hari ini.

Tiga suspek lelaki direman tujuh hari manakala dua suspek wanita termasuk remaja berusia 16 tahun direman empat hari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan Senjata Berbahaya 1958.

Portal berita Harian Metro melaporkan, semua suspek itu ditangkap polis sekitar 12.30 tengah hari sedang berehat di sebuah hotel di daerah ini, semalam.

Sebelum itu, seorang daripada suspek terbabit cuba meragut seorang jururawat yang hamil tujuh bulan di Bandar Springhill, di sini, pada 8.05 pagi.

Suspek bersenjatakan pisau itu gagal meragut beg tangan mangsa, namun berjaya melarikan telefon bimbit manakala mangsa berusia 29 tahun itu cedera di bahagian muka serta tangan.

Ujian saringan air kencing mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis Methamphetamine.

ANGGOTA polis membawa lima suspek kes ragut di Port Dickson ke Mahkamah Seremban untuk permohonan reman, hari ini. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
ANGGOTA polis membawa lima suspek kes ragut di Port Dickson ke Mahkamah Seremban untuk permohonan reman, hari ini. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2020 @ 8:22 PM