Ahmad Hasbi

Seremban: Dua penjawat awam di negeri ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalahgunakan jawatan masing-masing bagi meminta dan menerima sumbangan daripada ahli sebuah pertubuhan demi kepentingan sendiri.

Kedua-dua penjawat awam masing-masing berusia 37 dan 43 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan, di sini, pada jam 7.30 malam semalam.

Sumber SPRM Negeri Sembilan berkata, kedua-dua suspek bertugas di salah sebuah jabatan kerajaan di negeri ini masing-masing sebagai pegawai dan pembantu tadbir.

"SPRM Negeri Sembilan membuat tangkapan terhadap dua penjawat awam kerana disyaki menggunakan jawatan dan kedudukan untuk meminta dan menerima sejumlah sumbangan daripada beberapa ahli kehormat dan bersekutu pertubuhan terbabit.

"Sumbangan dipercayai dimasukkan ke dalam akaun bank milik suspek, isteri dan syarikat milik isteri dikatakan untuk kepentingan dirinya sendiri. Kesalahan dikesan dilakukan dari 2020 hingga 2022," katanya.

Menurutnya, permohonan reman terhadap kedua-dua suspek selama enam hari diluluskan Majistret Naziah Mohd Alias di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua lelaki terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

DUA penjawat awam direman di Mahkamah Majistret Seremban kerana disyaki menyalahgunakan jawatan masing-masing bagi meminta dan menerima sumbangan daripada ahli sebuah agensi untuk kepentingan sendiri. FOTO Azrul Edham
DUA penjawat awam direman di Mahkamah Majistret Seremban kerana disyaki menyalahgunakan jawatan masing-masing bagi meminta dan menerima sumbangan daripada ahli sebuah agensi untuk kepentingan sendiri. FOTO Azrul Edham

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 1:26 PM