Mohd Amin Jalil


Seremban: Reman terhadap seorang pemilik syarikat pembekalan pasir disambung empat hari lagi bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan laporan doket palsu membabitkan pengeluaran pasir hingga mengakibatkan kerugian RM100,000.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 41 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Kanan, Yusna Khadijah Yusof selepas permohonan dibuat oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Khairi Abdul Karim, di Mahkamah Khas Reman Seremban, hari ini.

Menurut sumber, pada Mei hingga Ogos 2019, suspek menerusi syarikatnya didakwa ada mengemukakan laporan doket palsu pengeluaran pasir laut kepada Yayasan Negeri Sembilan (YNS).

Suspek sebelum ini ditahan Selasa lalu dan direman selama enam hari untuk siasatan lanjut yang berakhir hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

SEORANG pemilik sebuah syarikat pembekalan pasir direman empat hari untuk membantu siasatan kes mengemukakan laporan palsu yang mengakibatkan kerugian RM100,000 di Mahkamah Khas Reman. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
SEORANG pemilik sebuah syarikat pembekalan pasir direman empat hari untuk membantu siasatan kes mengemukakan laporan palsu yang mengakibatkan kerugian RM100,000 di Mahkamah Khas Reman. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 6:36 PM