Ahmad Hasbi

Seremban: Seorang setiausaha jawatankuasa sebut harga sebuah agensi kerajaan di negeri ini, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menyalahgunakan kedudukannya, petang semalam.

Lelaki berusia 34 tahun itu ditahan di kediamannya di Bahau, Jempol pada 3.45 petang.

Difahamkan, lelaki berkenaan mempunyai kepentingan terhadap syarikat yang dipilih bagi sebut harga berjumlah RM18,000.

Menurut sumber, lelaki berkenaan dipercayai menyalahgunakan kedudukannya sebagai setiausaha jawatankuasa sebut harga sebuah agensi kerajaan bagi kerja perkhidmatan dalam organisasi itu di Gemas, Tampin.

"Suspek dipercayai menyediakan beberapa dokumentasi kerja perkhidmatan membabitkan sebut harga yang berjumlah kira-kira RM18,000.

"Lelaki ini mempunyai kepentingan terhadap syarikat yang dipilih," katanya ketika dihubungi hari ini.

Perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 31 Mei dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Syed Farid Syed Ali terhadap suspek itu di Mahkamah Majistret Seremban.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Seorang penjawat awam direman di Mahkamah Khas Reman kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukannya sebagai setiausaha jawatankuasa sebut harga sebuah agensi kerajaan bagi kerja-kerja perkhidmatan dalam organisasi itu. FOTO AZRUL EDHAM
Seorang penjawat awam direman di Mahkamah Khas Reman kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukannya sebagai setiausaha jawatankuasa sebut harga sebuah agensi kerajaan bagi kerja-kerja perkhidmatan dalam organisasi itu. FOTO AZRUL EDHAM

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 1:42 PM