GAMBAR hiasan. FOTO MAHZIR MAT ISA
GAMBAR hiasan. FOTO MAHZIR MAT ISA
BERNAMA

Kuala Lumpur: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Senai-Desaru Expressway (E22) menyediakan 221 pasukan rondaan di Lebuhraya Utara-Selatan dan E22 sebagai persediaan menghadapi Krismas dan tahun baharu.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, pasukan itu yang terdiri daripada 548 pegawai PLUSRonda dan Pasukan Keselamatan E22 akan melakukan rondaan secara berterusan di kedua-dua lebuh raya.

"Kehadiran mereka untuk menjaga perjalanan orang ramai yang akan bercuti menyambut Krismas dan Tahun Baharu serta memberikan bantuan kepada pelanggan pada bila-bila masa.

"Lebuhraya Utara-Selatan dan E22 menyediakan perjalanan lebih pantas dan lebih selesa ke Desaru menerusi Persimpangan Senai Utara yang mengambil masa kurang daripada 1 jam," menurutnya dalam kenyataan, hari ini.

Azman berkata, di E22, pengguna lebuh raya memerlukan masa kira-kira 45 minit untuk sampai ke Persimpangan Bandar Penawar dengan jarak perjalanan 70 kilometer.

Beliau berkata, pengguna terbabit boleh meneruskan perjalanan ke Desaru melalui Jalan Persekutuan FT92 dengan jarak kira-kira 10 kilometer menerusi E22 dari Persimpangan Senai Utara PLUS.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Senai-Desaru Expressway Berhad (SDEB) JamalAbd Nasir Taharim berkata, kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang disediakan di kedua-dua lebuh raya dapat membantu pengguna menikmati perjalanan selesa.

"R&R PLUS yang berada di Seremban, Ayer Keroh, Pagoh dan Machap serta R&R E22 di R&R Layang menyediakan pelbagai jenis kemudahan untuk kegunaan pengguna lebuh raya," menurutnya dalam kenyataan sama.

PLUS dan E22 menasihati orang ramai yang ingin melakukan perjalanan untuk bercuti pada hujung tahun ini supaya sentiasa mematuhi semua peraturan jalan raya yang ditetapkan serta menyediakan kemudahan pembayaran seperti Touch 'n Go dan e-Dompet dengan jumlah wang yang mencukupi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 10:18 PM