Gambar hiasan
Gambar hiasan
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Wang simpanan sebanyak RM512,316.18 milik pesara guru lesap dipercayai terpedaya dengan sindiket Macau Scam, baru-baru ini.

Wanita berkenaan sebelum itu menerima panggilan daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Fairul dari Kota Kinabalu, Sabah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang Asisten Komisioner Mohd Rosni Mohd Lazim berkata, suspek mendakwa mangsa terbabit dengan sindiket wang haram dan menjumpai bungkusan milik mangsa yang mengandungi lapan kad pengeluaran wang automatik (ATM) yang digunakan bagi menipu.

Katanya, mangsa yang ketakutan kemudian diminta mengikut arahan suspek dengan meletakkan kad bank bersama nombor pin dalam peti surat rumah mangsa.

"Suspek memberitahu bahawa kononnya ia adalah arahan daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan kad itu akan diambil oleh seorang 'Inspektor polis'.

"Suspek turut mendakwa bahawa mangsa akan dimasukkan ke dalam lokap sekiranya tidak mengikut arahan yang diberikan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurut Rosni, mangsa yang ketakutan mengikut arahan suspek dan keesokannya mendapati kad ATM yang dimasukkan ke dalam peti surat itu sudah tiada.

Katanya sebulan kemudian, mangsa membuat kad ATM baharu kerana mahu mengambil wang pencen suaminya dan pada masa sama menyemak penyata akaun.

"Didapati baki wang simpanan dalam akaunnya sebanyak RM512,316.18 sudah dikeluarkan.

"Menyedari ditipu, mangsa kemudian membuat laporan polis pada 20 Disember lalu," katanya lagi.

Rosni berkata siasatan awal mendapati panggilan telefon yang diterima mangsa adalah daripada nombor yang didaftarkan dari luar negara

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 9:33 AM