PENGUNJUNG menikmati keindahan suasana kampung dengan menaiki kereta lembu di Kampung Tambak Bugis, Telok Mas. FOTO BERNAMA
PENGUNJUNG menikmati keindahan suasana kampung dengan menaiki kereta lembu di Kampung Tambak Bugis, Telok Mas. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Melaka: Jika berpeluang melancong ke Melaka, pastinya teruja untuk menaiki kereta lembu. Ikon yang sinonim dengan negeri kelahiran Laksamana Hang Tuah serta mempunyai keunikan sejarah tersendiri.

Namun, khazanah negeri itu semakin pupus dek kepesatan pembangunan sehingga hanya tinggal sebuah bengkel yang masih mengusahakan pembuatan kereta lembu di Melaka.

Generasi keenam pembuat kereta lembu Samsudin Abdul, 42, berkata bengkel miliknya di Kampung Tambak Bugis, Telok Mas itu adalah satu-satunya bengkel yang masih tinggal berbanding sebelum ini kerana kurangnya minat dalam kalangan generasi muda dalam bidang pembuatan kereta lembu.

"Kereta lembu adalah antara pengangkutan darat yang popular di negeri ini. Mungkin zaman telah berubah dan tiada lagi yang berminat mempelajari pembuatannya," katanya.

Menurut Samsudin, proses membuat sebuah kereta lembu memakan masa kira-kira sebulan untuk disiapkan jika bahan mencukupi terutama kayu berkualiti bagi membuat badan kereta, tayar dan rangka kajang (bumbung) yang memerlukan beberapa jenis kayu agar tahan lama.

"Untuk badan dan tayar, saya menggunakan kayu keras seperti resak kerana tahan lasak manakala untuk kajang pula kayu yang liat seperti kelat, membasa, mata keli, cengal ataupun cenerai kerana mempunyai sedikit 'kelembutan' bagi menampung kajang terutama ketika di jalan 'offroad'.

"Anyaman daun rumbia pula digunakan untuk membuat kajang kerana ia mampu bertahan dalam jangka masa panjang berbanding daun nipah manakala lembu yang digunakan untuk menarik kereta pula daripada baka Kedah-Kelantan ataupun baka kacukan Siam," katanya.

SAMSUDIN menunjukkan salah sebuah roda kereta lembu yang sudah siap. FOTO BERNAMA
SAMSUDIN menunjukkan salah sebuah roda kereta lembu yang sudah siap. FOTO BERNAMA

Anak keenam daripada sembilan beradik itu berkata beberapa tahun lepas kereta lembu pernah popular dalam industri pelancongan di Melaka sehingga pengusaha kereta lembu diberi ruang untuk berada di kawasan pelancongan popular seperti di Banda Hilir.

Namun, aktiviti berkenaan semakin 'hilang' apabila kawasan yang disediakan kepada pengusaha kereta lembu bukan lagi kawasan tumpuan pelawat.

"Berikutan itu, saya bekerjasama dengan beberapa ejen pelancongan menawarkan pakej pelancongan di bengkel saya di sini agar pelancong dapat merasai suasana masyarakat Melayu di zaman dahulu.

"Antara aktiviti dilakukan termasuk menaiki kereta lembu ke kawasan bendang, menoreh getah, memakai busana Melayu dan merasai makanan tradisional masyarakat negeri ini," katanya.

Katanya, khazanah tradisional negara itu tidak mampu berdiri sendiri pada masa hadapan jika tidak mendapat sokongan daripada kerajaan negeri mahupun kementerian berkaitan.

SAMSUDIN menunjukkan cara membuat gantang roda kereta lembu. FOTO BERNAMA
SAMSUDIN menunjukkan cara membuat gantang roda kereta lembu. FOTO BERNAMA

"Saya berharap pihak berkenaan dapat toleh-toleh sikit ke sini untuk pertahankan peninggalan negeri Melaka . Kami berharap sangat ada pihak yang menyokong kerana tidak mahu kereta lembu ini terkubur.

"Saya tidak lokek untuk berkongsi ilmu pembuatan kereta lembu dengan orang lain namun tiada yang berminat. Saya kini hanya mengajar adik-beradik dan anak saudara mengenai pembuatan kereta lembu ini kerana niat saya mahu warisan ini dikekalkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 8:03 PM