Ahli majlis dan ahli gabungan MKNK bergambar kenangan pada majlis itu. FOTO ihsan MKNK
Ahli majlis dan ahli gabungan MKNK bergambar kenangan pada majlis itu. FOTO ihsan MKNK
Asrizal Aris


 

AHLI Gabungan Majlis Kebudayaan Negeri Kedah (MKNK) menerima bantuan pentadbiran sebagai penghargaan memartabatkan kebudayaan dan kesenian negeri pada Majlis Penyerahan Bantuan Pentadbiran, di Alor Setar, Ahad lalu.

Pada majlis bertemakan Profesionalisme Ke Arah Kecemerlangan itu, MKNK berharap ia mampu memberi kesan yang baik dan proaktif dalam pentadbiran ahli gabungan MKNK.

Yang Dipertua MKNK, Datuk Aminuddin Omar berkata, penyerahan bantuan itu adalah majlis tahunan MKNK dan berharap menjadi pemangkin bagi memantapkan urus tadbir setiap ahli gabungan yang bernaung di bawah MKNK.

"Ini bertepatan dengan peranan MKNK kepada ahli gabungan iaitu menasihati, memimpin, menyelaras dan mengawasi di dalam perkara mengenai kebudayaan dalam negeri.

"Ia juga mengikuti perkembangan kebudayaan kebangsaan selain bekerjasama membantu kerajaan bagi mencapai matlamat Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Pelancongan," katanya yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.

Menurutnya, majlis penyerahan bantuan dianjurkan dengan matlamat mengeratkan silaturahim diantara Ahli Majlis Kebudayaan Negeri Kedah dengan Ahli Jawatankuasa Tertinggi bagi setiap ahli gabungan.

Penolong Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah, Muhammad Nur Ihsan Yahaya berkata, usaha memartabatkan kesenian dan kebudayaan digiatkan lagi dengan peranan ahli gabungan daripada pelbagai bidang termasuk penulisan, teater dan tarian.

"Banyak khazanah negeri Kedah yang berupa hasil sastera, budaya dan sejarah masih belum dibongkar dan dipersembahkan kepada orang ramai lebih-lebih lagi generasi yang akan datang. 

"Segala usaha membongkar dan mempersembahkannya kepada masyarakat umum adalah salah satu daripada tangungjawab MKNK," katanya yang juga Setiausaha Kehormat MKNK.

Turut hadir Yang Dipertua Gabungan Persatuan-Persatuan Silat dan Pergendangan Negeri Kedah (PESILAT) Datuk Mohd Arpan Shari dan Yang Dipertua Persatuan Sejarah Malaysia Negeri Kedah (PSMCK) Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 4:48 PM