Baharom Bakar


Kuala Berang: Kerajaan menyediakan pinjaman mudah berjumlah RM500 juta kepada pihak industri dan koperasi serta pelbagai agensi untuk mengusahakan penanaman buluh secara komersil.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menjelaskan, pinjaman mudah RM10,000 bagi setiap satu hektar untuk penanaman buluh.

Jelasnya, mereka yang mengusahakan tanaman buluh secara komersil akan memperoleh hasil berjumlah RM36,000 dalam tempoh empat hingga lima tahun.

"Mereka yang mendapat pembiayaan ini hanya perlu menjelaskan bayaran pinjaman selepas tujuh tahun memperoleh hasil.

"Buluh memiliki tempoh matang yang singkat iaitu antara empat dan lima tahun berbanding tempoh matang pokok kayu yang memerlukan sekurang-kurangnya 15 tahun, " katanya.

Mohd Khairuddin Aman berkata demikian ketika menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC) bagi pembangunan projek model ladang buluh di pusat latihan industri perkayuan Terengganu di Kampung Teris di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi TTITC Muhyidin Abdul Rashid.

MoA itu ditandatangani Ketua Pengarah MTIB Mohd Kheiruddin Mohd Rani manakala TTITC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Sulong.

Melalui perjanjian itu, TTITC akan membangunkan model ladang buluh terutamanya bagi lima spesies buluh di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH).

Perjanjian itu juga merangkumi pembangunan plot kajian dan penyelidikan tumbesaran buluh selain akan dijadikan pusat rujukan kepada semua pihak yang berkepentingan serta berpotensi untuk dijadikan pusat eko-pelancongan bertemakan ladang buluh negara.

TTITC menyediakan tanah seluas 15 hektar untuk penanaman buluh spesies betung, beting, beti, semantan dan hitam.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin menambah, saiz pasaran buluh global adalah besar iaitu berjumlah RM275.2 bilion pada 2018.

"Sumbangan ekonomi industri berasaskan buluh di negara masih kecil. Nilai eksport berjumlah RM9.9 juta dan import pula RM96 juta berbanding jumlah eksport kayu negara berjumlah RM22.2 bilion," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2020 @ 2:47 PM
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tiga kanan) dan Dr Mohd Khairuddin (dua kiri) menyaksikan majlis penyerahan Memorandum Perjanjian oleh Mohd Kheiruddin (kiri) kepada Mohd (kanan). FOTO BAHAROM BAKAR
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tiga kanan) dan Dr Mohd Khairuddin (dua kiri) menyaksikan majlis penyerahan Memorandum Perjanjian oleh Mohd Kheiruddin (kiri) kepada Mohd (kanan). FOTO BAHAROM BAKAR