Mohd Khairuddin  (dua kanan) bersama Ahmad Samsuri (dua kanan) pada majlis Pelancaran Buku ‘Kaedah Rawatan dan Pengawetan Buluh’ di Paya Bunga Hotel. FOTO Ghazali Kori
Mohd Khairuddin (dua kanan) bersama Ahmad Samsuri (dua kanan) pada majlis Pelancaran Buku ‘Kaedah Rawatan dan Pengawetan Buluh’ di Paya Bunga Hotel. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


PEMBINAAN surau buluh di Dataran Tembesu, Kuala Nerus bukan sahaja berperanan sebagai pusat penyelidikan bagi pembinaan berasaskan buluh pertama di negara ini tetapi bakal menjadi ikon pelancongan terbaru di Terengganu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, surau yang akan dibina di atas tapak seluas 3,000 kaki persegi itu kini dalam proses meratakan tanah dan dijangka siap dalam tempoh sembilan bulan.

Katanya, projek itu akan dilaksanakan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus serta Bamboo Jungle Adventures Sdn Bhd (BJA) dengan kos RM400,000 merangkumi kos pembangunan dan penyelidkan.

"Sebenarnya kita sudah ada model surau buluh di Malaysia tapi surau buluh yang nak dijadikan sebagai pusat penyelidikan dan kajian buluh belum ada.

"Begitu juga dengan masjid, kita sudah ada masjid buluh di Gua Musang, Kelantan dan Kuala Kangsar, Perak cuma surau ini bukan hanya diperbuat daripada buluh tetapi produk yang dihasilkan juga daripada buluh.

"Kita akan gunakan bahan itu dan jadikannya sampel penyelidikan untuk semua orang di bidang ini dan ia akan menjadi model penyelidikan untuk dibina oleh orang lain yang bersifat persendirian," katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) di antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Bamboo Jungle Adventures Sdn Bhd (BJA) dan Golden Pharos Berhad di Hotel Paya Bunga, di Kuala Terengganu, hari ini.

Terdahulu, majlis menandatangani MoA itu turut disaksikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

MTIB diwakili Ketua Pengarahnya, Mohd Kheiruddin Mohd Rani manakala BJA diwakili Pengarah Urusannya, Anum Nazahah Ahmad Mazlan dan Golden Pharos diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Nadzarudin Abdul Razak.

MoA itu membabitkan pembangunan manual aplikasi buluh dalam industri pembinaan yang akan menjadi rujukan kepada mana-mana pihak yang ingin mendirikan bangunan menggunakan buluh sebagai komponen struktur.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin berkata, kementerian turut meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta dalam membangunkan projek 'Model Ladang Hutan Buluh' di Terengganu.

"Pelaksanaan projek ini adalah selama lima tahun dan diharapkan ia dapat menjadi panduan kepada pemain-pemain industri yang lain untuk menceburi bidang perladangan dan seterusnya menyumbang kepada bahan mentah bagi pembuatan produk berasaskan buluh," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2020 @ 5:40 PM