AHLI kariah Masjid Kampung Seri Bayas, Permaisuri, Setiu meredah banjir selepas selesai menunaikan solat Jumaat di kampung mereka, hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
AHLI kariah Masjid Kampung Seri Bayas, Permaisuri, Setiu meredah banjir selepas selesai menunaikan solat Jumaat di kampung mereka, hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


Permaisuri: Demi kewajipan, kariah Masjid Kampung Seri Bayas, Setiu dekat sini, sanggup meredah banjir untuk menunaikan solat Jumaat hari ini.

Imam masjid itu, Abdullah Abdul Rahman berkata, 42 jemaah hadir membolehkan solat Jumaat dilaksanakan.

Katanya, kawasan persekitaran masjid mula dinaiki air sejak lewat petang semalam dan awal pagi tadi, solat Subuh tidak dapat dilaksanakan secara berjemaah di masjid kerana paras air masih tinggi.

"Syukur, paras air semakin surut menjelang tengah hari tetapi jemaah masih perlu mengharungi air untuk ke masjid.

"Ada jemaah yang membawa pakaian ganti dalam plastik kerana bimbang pakaian untuk solat basah," katanya.

Abdullah berkata, sejak 1990-an, kawasan masjid itu kerap ditenggelami banjir kerana ia dibina di kawasan yang dulunya berpaya.

"Ketika kawasan perkampungan ini dibuka, hanya lokasi ini yang sesuai untuk dibina masjid kerana kedudukannya di tengah kampung.

"Sejak dulu, kami akan bergotong royong membersihkan masjid setiap kali banjir melanda," katanya.

Menurut beliau, sejak 2018, ada cadangan untuk membina masjid di tapak baharu namun sehingga kini masih belum ada sebarang perkembangan.

"Kami berharap projek membina masjid baharu ini dapat dipercepatkan kerana setiap kali musim banjir, kami akan berdepan situasi sama.

"Kami juga sudah beberapa kali menghantar permohonan untuk membina masjid kepada pihak berkaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 5:34 PM