DATUK Shafien Mamat. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
DATUK Shafien Mamat. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Siti Rohana Idris


Tumpat: Polis Kelantan giat mengesan individu yang memberikan senjata jenis AK47 kepada petani yang dipercayai menggunakan senjata itu untuk menghalau gajah liar di kebunnya di Kampung Bahagia, Kuala Krai.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya sudah hampir dapat mengenalpasti siapa sebenarnya lelaki terbabit.

"Setakat ini belum ada tangkapan dan ia akan dibuat dalam masa terdekat. Kami percaya kita hampir dapat menyelesaikannya," katanya kepada media di sini, malam tadi.

Dalam serbuan jam 3.10 pagi Ahad lalu, petani berusia 50 tahun itu ditahan kerana memiliki selaras senapang jenis AK47 dipercayai digunakan untuk menembak gajah liar yang merosakkan kebunnya.

Sementara itu, dalam perkembangan mengenai kes lelaki Orang Asli yang mencekik isterinya hingga mati, Shafien memaklumkan suspek masih dirawat di Hospital Kuala Krai.

"Suspek masih menerima rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil bagaimanapun reman terhadapnya masih diteruskan," katanya.

Dalam kejadian tengah hari Isnin lalu, suspek yang berusia 45 tahun bertindak mencekik leher isterinya, Huda Sudin, 38, di Kampung Liak, Pos Brooke, Gua Musang selepas dipercayai marah sebaik mendapat tahu mangsa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Berita berkaitan

Petani miliki senapang jenis AK47 ditahan [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 10:45 AM