GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Hubungan sulit dengan lelaki lain dipercayai motif utama seorang lelaki mencekik isterinya sehingga maut, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengahari di Kampung Liak, Pos Brooke, Gua Musang, mangsa yang juga etnik Orang Asli, Huda Sudin, 38, meninggal dunia akibat dicekik suaminya dipercayai selepas berlaku perselisihan faham di rumah mereka.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, selepas mencekik isterinya, suspek berusia 45 tahun cuba membunuh diri dengan minum racun rumput.

"Hasil siasatan mendapati, suspek marah dan tidak berpuas hati apabila mendapat tahu isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

"Menurutnya lagi, isterinya sering kali melakukan hubungan dengan lelaki itu yang juga dari kampung sama.

"Selepas mencekik isterinya hingga mati, suspek keluar membeli minuman keras dan minum supaya mabuk sebelum meneguk racun rumput bertujuan membunuh diri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Shafien berkata, suspek dibawa ke klinik dan dalam keadaan stabil manakala mangsa pula dirujuk ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk proses bedah siasat.

"Suspek ditahan reman selama seminggu bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 3:05 PM