Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Kota Bharu: Wanita Orang Asli ditemukan mati selepas dipercayai dicekik suaminya dalam satu pergaduhan di rumah mereka di Kampung Liak, dekat Pos Brooke di Gua Musang, hari ini.

Ketua Polis Kelantan Deputi Komisioner Shafien Mamat ketika dihubungi berkata, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang bergegas ke lokasi kejadian yang terletak dekat dengan Tanah Tinggi Lojing, sejurus mendapat maklumat daripada adik mangsa.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku pada 12 tengah hari ketika mangsa berusia 38 tahun bersama suaminya berada di rumah mereka yang terletak di kawasan pedalaman kampung itu.

"Siasatan awal polis mendapati berlaku perselisihan faham antara mangsa dengan suaminya menyebabkan lelaki itu mencekik isterinya dan mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Menurut Shafien, polis sudah menahan suami mangsa berusia 40 tahun itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, mayat wanita itu dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 9:36 PM