Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Masjid Kampung Melayu Majidi, di sini, diarah tutup sementara sejak Jumaat lalu hingga Khamis ini, bagi disanitasi dan dinyahkuman.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu, berkata ia sebagai langkah pencegahan dan kawalan susulan pengesanan kes positif di premis berkenaan.

"Ya benar, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengarahkan masjid berkenaan ditutup sementara mulai Jumaat lalu hingga Khamis ini.

"Penutupan masjid berkenaan adalah untuk proses sanitasi, namun kes aktif masih dalam siasatan JKNJ," katanya ketika dihubungi.

Tinjauan di sekitar masjid itu mendapati suasana meriah setiap kali Ramadan kini menjadi suram.

Masjid berkenaan terkenal dalam kalangan penduduk daerah ini kerana menjadi pusat agihan bubur lambuk sepanjang Ramadan sejak lebih 30 tahun lalu.

Notis penutupan masjid ditampal di pagar masjid berikutan terdapat kes aktif Covid-19 di Masjid Kampung Melayu Majidi, Johor Bahru. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Notis penutupan masjid ditampal di pagar masjid berikutan terdapat kes aktif Covid-19 di Masjid Kampung Melayu Majidi, Johor Bahru. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Semalam, media melaporkan kes penularan Covid-19 di negeri ini kembali meningkat sejak beberapa hari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, dilaporkan berkata Johor merekodkan peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan di kalangan warga sekolah, membabitkan guru dan pelajar.

Sebanyak 159 pelajar dari lima sekolah di sekitar daerah Johor Bahru juga diarahkan untuk menjalani saringan Covid-19 di One Stop Covid-19 Assessment Centre (OSCAC) Pasir Gudang dan Bukit Indah, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 12:21 PM