Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Penjaja di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang memohon mengikuti program Wilayah Bebas Berniaga (WBB) akan melalui prosedur ketat bagi pengesahan mereka adalah pemilik sah kad pengenalan dan berstatus warga negara.

Ini bagi mengelakkan pemohon mendaftar menggunakan kad pengenalan individu yang sudah meninggal dunia atau memohon lebih daripada satu permohonan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya ditegur Unit Audit yang mengesan lesen dimiliki individu yang sudah mati dalam semakan lesen tahun 2018 dan 2019.

Katanya, oleh itu, pihaknya membuat semakan ketat dengan pemohon perlu hadir ke pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) secara fizikal untuk memeriksa MyKad menggunakan alat pengimbas bagi mengesahkan pemohon adalah pemilik sah dan berstatus warga negara.

"Kebimbangan saya adalah bukan saja 'orang mati' boleh dapat lesen, tetapi saya dapat maklumat ada orang yang memohon lebih daripada satu lesen dan lesen itu akan disewa atas sewa.

"Saya tak risau kalau dia 'sublet' kepada warga negara, tetapi yang saya risau mereka nak duit, mereka ambil lesen, mereka 'sublet' kepada bukan warga negara," katanya ketika ditemui dalam sidang media di Majlis Perjumpaan Bersama Masyarakat Cina dan Penyampaian Bantuan di Kampung Tokong, Serendah, dekat sini, hari ini.

Annuar berkata, jika perkara itu berlaku, pihaknya memberi amaran kepada penjaja, mereka akan disenarai hitam secara total.

ANNUAR pada Majlis  Ramah Mesra dan Penyampaian Bantuan Covid-19 kepada penduduk masyarakat Cina di Kampung Tokong, Serendah, Ketereh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANNUAR pada Majlis Ramah Mesra dan Penyampaian Bantuan Covid-19 kepada penduduk masyarakat Cina di Kampung Tokong, Serendah, Ketereh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Beliau berkata, peniaga yang memberi sublet kepada peniaga asing akan dibatalkan semua lesen yang berkaitan.

"Mereka juga tidak boleh menerima apa-apa bentuk lesen daripada DBKL.

"Saya beri peringatan, bila saya permudahkan dengan niat yang baik, jangan buat sesuatu yang menimbulkan kesusahan, saya harap penjaja di Wilayah membalas balik apa yang saya lakukan dengan mengikut dan mematuhi penguatkuasaan yang kita adakan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menggunakan dua pendekatan iaitu di bahagian pengeluaran lesen dengan membuat semakan demi semakan dan kedua penguatkuasaan apabila berlaku perlanggaran undang-undang.

"Saya beritahu penguat kuasa supaya bersikap ramah, bukan menghalau, bukan merampas, bukan menimbulkan kesusahan tetapi dalam masa sama jika ada aduan (salahguna lesen), penguat kuasa kena semak dan jika ada salah guna lesen, penguatkuasaan tetap dijalankan," katanya.

Annuar berkata, setakat ini seramai 3,200 permohonan diterima bagi menyertai program WBB, dan 1,700 daripada permohonan itu sudah diluluskan dan diberi lesen.

"Satu sambutan yang luar jangka, saya jangka 2,000 tetapi setakat hari ini 60 hingga 70 peratus sudah diluluskan, hanya sebahagian kecil kita tolak kerana mereka memilih untuk berniaga di lokasi yang tidak dibenarkan," katanya.

Terdahulu, laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1, mendapati DBKL dikesan meluluskan permohonan dan pembaharuan 500 lesen penjaja yang menggunakan kad pengenalan individu yang sudah meninggal sejak tiga tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 3:53 PM